IPOH, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak memohon Kerajaan Persekutuan mempercepat pembinaan bangunan Hospital Kampar.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Datuk A. Sivanesan berkata hal ini kerana Hospital Kampar yang ada ketika ini semakin uzur dan tidak lagi sesuai untuk menampung keperluan pesakit.
Beliau berkata pihaknya juga merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad supaya memberikan perhatian serius kepada projek pembinaan Hospital Kampar yang baharu.
"Hospital Kampar susah untuk dibaiki dan dipulihkan. Suasana serta keadaan lokasi hospital itu juga tidak sesuai, bukan sahaja untuk OKU (Orang Kurang Upaya), malah warga emas tanpa kenderaan turut menghadapi kesukaran untuk sampai ke hospital.
"Musim hujan pula menyukarkan pergerakan pesakit dari satu blok ke blok yang lain. Hospital Kampar ini ialah hospital lama yang dibina pada era 40-an dan 50-an, sangat tidak mesra pesakit," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Sivanesan berkata peruntukan bagi pembinaan hospital berkenaan sebanyak RM500 juta sudah pun diluluskan pada 2019 selepas mengambil kira keadaan fizikal hospital lama yang sukar dibaiki dan dipulihkan.
Sebelum ini, kejadian kebocoran serius di Hospital Kampar menyebabkan petugas kesihatan terpaksa menggunakan payung bagi melindungi pesakit di dalam wad.
Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial yang menyaksikan sendiri suasana berkenaan apabila air hujan menitis di dalam wad selain beberapa kali mengalami gangguan elektrik menyebabkan peralatan perubatan seperti mesin ventilator turut terjejas.
Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata kenderaan seorang lelaki yang disaman pihak berkuasa di Hospital Raja Permaisuri Bainun disebabkan kenderaan itu diletakkan di lokasi yang mengganggu laluan serta menghalang pandangan pengguna jalan raya.
Sebelum ini, beliau berkata kerajaan negeri dan pihak polis mencapai kata sepakat bagi membenarkan orang awam meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran dengan hospital tanpa dikenakan saman selagi tidak melanggar syarat ditetapkan.
Sivanesan berkata tindakan saman hanya dikenakan terhadap kenderaan yang diletakkan di kawasan larangan seperti berhampiran susur masuk dan keluar hospital, bulatan serta lokasi yang boleh menghalang pandangan dan pergerakan ambulans.
Baru-baru ini, seorang pengguna platform Facebook mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menyaman kenderaannya dan turut menyalahkan kerajaan negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial