Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Gubal Kerangka Perundangan Baharu e-Dagang Tingkat Akauntabiliti, Lindungi PMKS

25/06/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang menggubal kerangka perundangan baharu platform e-dagang yang lebih inklusif dan komprehensif bagi meningkatkan akauntabiliti platform berkenaan sekali gus melindungi usahawan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kajian berkenaan perkara itu dimulakan sejak April 2024, dengan laporan akhir telah siap dan boleh diakses melalui laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). 

Beliau berkata KPDN juga telah menyediakan Memorandum Jemaah Menteri berkaitan ketetapan dasar penggubalan undang-undang baharu berkenaan yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu pertama Julai ini selepas mendapat pertimbangan Jemaah Menteri. 

Ad Banner
Ad Banner

“Tindakan susulan akan dilaksanakan dengan menyediakan draf rang undang-undang yang mengambil kira pandangan semua kementerian serta semakan Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai inisiatif kerajaan untuk peniaga e-dagang, termasuk kawal selia ketidakseimbangan akses pasaran serta langkah membendung lambakan produk tiruan. 

Armizan berkata berikutan ketidakseimbangan serta jurang kawal selia antara peniaga tempatan dengan penjual asing rentas sempadan, kerajaan telah merangka perundangan baharu itu bagi mewujudkan ekosistem persaingan yang adil, akauntabiliti platform dan membendung isu produk tiruan. 

Bagaimanapun, katanya, bagi perniagaan e-dagang yang beroperasi di Malaysia, aktiviti perniagaan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang tempatan termasuk perundangan di bawah kawal selia kementerian lain.

“Pada masa ini, kerajaan belum mewajibkan semua penjual luar negara untuk menubuhkan syarikat atau entiti perniagaan berdaftar di Malaysia. Ini kerana model e-dagang rentas sempadan melibatkan pelbagai bidang kuasa antarabangsa yang perlu diteliti dari sudut pelaksanaan, pematuhan dan komitmen perdagangan antarabangsa.

“Perundangan KPDN sedia ada bersifat territorial (wilayah) dan tidak memperuntukkan kuasa penguatkuasaan extraterritorial (luar wilayah) secara langsung ke atas penjual asing tanpa entiti berdaftar di negara ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Armizan berkata kajian sedang dibuat untuk memperkenalkan mekanisme kebertanggungjawaban kepada platform merangkumi kewajipan pematuhan undang-undang Malaysia oleh entiti luar, syarat pelantikan wakil tempatan yang sah, pengukuhan akauntabiliti pengendali platform dan pemakaian undang-undang luar wilayah (extraterritorial application).

Menyentuh isu lambakan produk tiruan, Armizan berkata KPDN merekodkan sebanyak 38,503 aduan berkaitan transaksi dalam talian sejak 2023 hingga 11 Jun lepas. 

Katanya, KPDN bersama-sama penyedia platform e-dagang, penyedia perkhidmatan internet (ISP) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperkukuh kerjasama bagi menangani isu dalam talian.

“Hasil kerjasama itu, sebanyak 412 laman web telah disekat atas pelbagai kesalahan termasuk penjualan barangan tiruan antara 1 Januari hingga 31 Mei 2026, manakala 57 iklan turut diturunkan dalam tempoh sama melalui kerjasama platform e-dagang,” katanya.

Armizan berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terus memantau amalan anti-persaingan di bawah Akta Persaingan 2010, namun setakat ini tiada kes predatory pricing (penetapan harga di bawah kos pengeluaran) melibatkan peniaga luar direkodkan dalam ekosistem e-dagang.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2023, sektor e-dagang telah menyumbang sebanyak RM248.2 bilion iaitu 13.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Dari aspek jumlah pendapatan pula, sektor itu juga merekodkan trend peningkatan, iaitu RM1.1 trilion pada 2021, RM1.13 trilion (2022), RM1.18 (2023), RM1.23 trilion (2024) dan mencecah RM1.3 trilion (2025).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan