KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima sumbangan sebanyak RM1.037 juta bagi menjayakan majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 bulan hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail berkata sebanyak RM587,000 sumbangan diterima daripada 60 organisasi dan RM450,000 tajaan disumbangkan Petronas selaku penaja hadiah wang tunai kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas sejak 1994.
“Sokongan yang diberikan bukan sekadar membantu menjayakan sebuah acara tahunan yang berprestij. Ia mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kewartawanan yang profesional, beretika dan dipercayai oleh masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Para Penyumbang MWM 2026 hari ini.
Turut hadir Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong, Timbalan Presiden MPI Farrah Naz Abd Karim, Ahli Majlis Pentadbir MPI yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengurus Besar Saluran dan Perhubungan Media Komunikasi Strategik, Kumpulan Petronas Jalina Joheng.
Ainol Amriz berkata MWM menjadi lebih istimewa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir bagi memeriahkan majlis pada 17 Julai ini.
Beliau berkata MWM adalah simbol pengiktirafan kepada pengamal media yang saban hari berusaha mendapatkan fakta, mengesahkan maklumat dan menyampaikan laporan yang tepat demi kepentingan rakyat serta negara.
Ainol Amriz turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan, komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh para penaja dan penyumbang untuk membolehkan MPI terus melaksanakan pelbagai program pembangunan profesional, latihan industri serta inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti media negara dan sektor penyumbang.
Majlis hari ini turut disertai Forum Pemikir: Evolusi Media dan Perubahan Industri yang memasuki tahun ketiga penganjurannya sebagai platform untuk media dan industri berkumpul, bertukar pandangan serta memahami cabaran dan peluang yang sedang membentuk masa depan komunikasi dan kewartawanan.
Forum itu menampilkan Tokoh Wartawan Malaysia Datuk A Kadir Jasin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf Firdaus Hussamuddin, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris dan Ketua Editor Vanakkam Malaysia Thiaga Rajan Muthusamy sebagai panelis manakala Ally Iskandar sebagai moderator.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial