Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelan Asas MHIT Dijangka Masuki Fasa Pelaksanaan Rintis Akhir Bulan Depan - MOF

26/06/2026 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas dijangka memasuki fasa pelaksanaan rintis menjelang akhir Julai ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkenaan memaklumkan inisiatif itu mencapai kemajuan  memberangsangkan di bawah Strategi RESET, iaitu usaha kolaboratif MOF, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia serta pihak berkepentingan utama untuk menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.

MOF memaklumkan, beberapa inisiatif lain sedang dilaksanakan secara berperingkat termasuk penggunaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) sebagai mekanisme pembayaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan, peningkatan ketelusan harga dan faktor pendorong inflasi perubatan.

Ad Banner
Ad Banner

Inisiatif pengukuhan standard data serta penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian juga sedang dilaksanakan.

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat antara pembuat dasar, pengawal selia, pembayar serta penyedia perkhidmatan kesihatan dalam menjayakan reformasi sektor penjagaan kesihatan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas berhubung laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai usaha menangani kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta.

Menurut MOF, Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan meneliti setiap syor dikemukakan PAC serta memberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh serta mempercepat pelaksanaan pembaharuan yang sedang dilaksanakan.

MOF memaklumkan cadangan dikemukakan PAC secara umumnya selaras dengan hala tuju Strategi RESET serta mengukuhkan keperluan untuk mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan.

“JBMKKS dan semua pihak yang terlibat kekal komited untuk memastikan pelaksanaan Strategi RESET berjalan mengikut jadual serta mencapai hasil yang nyata kepada rakyat.

“Matlamat utama usaha ini adalah untuk menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta lebih telus, lebih mampu milik dan mampan demi manfaat semua rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Semalam di Dewan Rakyat, PAC mengemukakan 17 syor kepada kerajaan bagi menangani peningkatan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta termasuk mempercepat pelaksanaan sistem DRG serta meminda undang-undang bagi membolehkan kawal selia caj hospital swasta dan yuran doktor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan