Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AADK Seru Penglibatan NGO, Syarikat Korporat Bantu Pemulihan Klien

26/06/2026 08:53 PM

TASEK GELUGOR, 26 Jun (Bernama) -- Lebih banyak pihak khususnya syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru tampil bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha memperkukuh program pemulihan klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata penyalahgunaan dadah merupakan isu sejagat yang memerlukan sokongan seluruh masyarakat dalam menanganinya, dan bukan hanya terletak pada bahu AADK mahupun kerajaan semata-mata.

Beliau berkata sokongan pihak luar amat penting terutama dalam menyediakan bimbingan, motivasi serta peluang kepada klien untuk membina kehidupan baharu selepas keluar daripada pusat berkenaan sekali gus memastikan mereka tidak kembali terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Ad Banner
Ad Banner

“Di Puspen, kita sudah ada modul tertentu tetapi yang paling penting apabila mereka keluar nanti… kerana di luar sana adalah berbeza. Justeru, kita galakkan pihak luar, tidak kira korporat mahupun agensi datang bersama kita,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia bersama Puspen Kampung Selamat di sini hari ini.

Ruslin berkata program julung-julung kali bersama kelab motosikal itu merupakan antara contoh terbaik dalam membuka ruang kepada klien Puspen berinteraksi dengan individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan ahli korporat. 

Sementara itu, pengasas Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia Datuk Mohamad Efendi Omar berkata program berkenaan bukan sekadar berkongsi hobi, tetapi juga membuka ruang kepada ahli kelab untuk menyumbang kepada masyarakat secara lebih luas.

Beliau berkata inisiatif itu turut membuktikan peranan NGO dalam membentuk sistem sokongan lebih tersusun agar bekas klien Puspen dapat memulakan kehidupan baharu dengan lebih baik.

“Kerjasama dengan AADK ini akan berterusan dan kami juga akan menyusun strategi terbaik untuk memastikan bahawa program ini bukan sekadar motivasi sahaja, tetapi melihat bagaimana untuk membuka peluang pekerjaan supaya apabila mereka keluar nanti, mereka dapat tempat yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan