KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan UOB Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran PRUPrime Gain, iaitu pelan simpanan utama untuk pelanggan yang ingin mengekalkan kekayaan mereka sambil mengamalkan pendekatan pelaburan berstruktur.
Dalam kenyataan bersama hari ini, menurut kedua-dua syarikat pelan itu memenuhi dua keutamaan utama yang sering sukar diseimbangkan oleh pelanggan, dengan membantu melindungi kekayaan yang telah mereka bina sambil terus mengembangkan kekayaan dari semasa ke semasa.
"Disebabkan pelanggan kini lebih berpengetahuan dan teliti dalam perancangan kewangan, mereka semakin mencari pendekatan pelaburan yang berstruktur, di samping mengekalkan kekayaan.
"Jangka hayat yang lebih panjang telah meningkatkan lagi keperluan untuk memastikan simpanan dapat menyokong keperluan kewangan jangka panjang, dan PRUPrime Gain diperkenalkan untuk menangani jurang yang ada," menurut kenyataan itu.
Pelan berkenaan hanya memerlukan komitmen jangka pendek, menyediakan manfaat kemandirian dan kematangan terjamin sekurang-kurangnya 100 peratus daripada jumlah premium yang dibayar, selain booster kesetiaan tahunan untuk menyokong pengumpulan kekayaan dari semasa ke semasa.
Di samping itu, sebahagian premium yang dibayar diperuntukkan kepada PRULink Equity Index Fund, yang menjejaki indeks ekuiti global dan menawarkan pendedahan kepada portfolio global yang pelbagai.
Pelanggan juga boleh menikmati pendaftaran mudah melalui Tawaran Penerimaan Terjamin (GIO) yang had premium tahunannya sebanyak RM1 juta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelanggan, Pemasaran dan Produk Prudential Assurance Malaysia Berhad Chee Foong Wai berkata pelanggan hari ini mencari penyelesaian yang dapat membantu mereka menguruskan ketakpastian, sambil terus fokus kepada mencapai matlamat kewangan.
"PRUPrime Gain direka untuk mereka yang ingin mengumpul kekayaan dengan ketenangan fikiran, di samping memanfaatkan peluang pertumbuhan melalui pelaburan yang berterusan.
"Ia mencerminkan bagaimana keputusan kewangan dibuat pada masa kini dengan lebih penekanan kepada menyeimbangi kepastian dan pertumbuhan,” katanya.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia Elaine Fan berkata bank itu menyaksikan semakin ramai pelanggan beralih kepada perancangan kewangan yang lebih teliti dan seimbang, dengan mengutamakan pengekalan dan pertumbuhan kekayaan.
"PRUPrime Gain mencerminkan perubahan dalam pemikiran ini dengan menawarkan penyelesaian yang menggabungkan kestabilan dengan peluang untuk meningkatkan pulangan dari semasa ke semasa.
"Melalui kerjasama dengan Prudential, kami terus komited untuk menyediakan pelanggan penyelesaian kewangan yang mudah diakses dan distrukturkan dengan baik yang menyokong matlamat jangka panjang mereka dengan yakin," katanya.
Ketua Pegawai Perkongsian PAMB Eric Wong berkata kerjasama dengan UOB Malaysia telah berkembang seiring dengan keperluan pelanggan sepanjang 15 tahun lepas, dan bersempena dengan ulang tahun ke-15 kerjasama, kedua-dua pihak terus komited untuk menawarkan penyelesaian yang memenuhi keperluan pelanggan.
"PRUPrime Gain menggabungkan kelebihan Prudential dalam perlindungan dan perancangan jangka panjang dengan hubungan perbankan UOB yang kukuh bagi memberikan pelanggan cara yang lebih seimbang dalam merancang masa depan mereka," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai PRUPrime Gain, layari UOB.my/ppg.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial