KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Wartawan sukan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Zulkarnain Mohd Azman memenangi Anugerah Liputan Sukan Terbaik kategori Media Cetak pada Anugerah Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2026 di sini malam ini.
Beliau menerima pengiktirafan itu menerusi artikel bertajuk “MBPJ Terus Taja Wai Ching, Promosi Petaling Jaya Di Pentas Dunia”.
Muhammad Zulkarnain menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohamad Zahri Samingon.
Beliau ketika ditemui mengakui tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan, khususnya editor, rakan-rakan sepasukan dan keluarga yang sentiasa berada di belakang saya sepanjang perjalanan ini.
“Anugerah ini juga menjadi pemangkin untuk saya terus menghasilkan karya yang lebih bermakna, berkualiti dan memberi impak kepada masyarakat pada masa akan datang,” katanya.
Anugerah Media MBPJ 2026 mempertandingkan 14 kategori meliputi laporan khas, penerbitan artikel, kewartawanan visual, liputan sukan, media hiburan serta beberapa kategori penghargaan khas.
Anugerah itu dianjurkan bagi menghargai sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan, inisiatif dan agenda pembangunan bandar raya Petaling Jaya kepada masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial