Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penjagaan Kesihatan Primer Yang Kukuh Penting Untuk Kemampanan Sistem Kesihatan

28/06/2026 01:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Penjagaan primer yang kukuh penting untuk mencapai hasil kesihatan yang lebih baik dan membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerjasama antara penyedia perkhidmatan kesihatan, institusi akademik dan badan profesional semakin penting kerana permintaan penjagaan kesihatan negara yang semakin meningkat tidak mampu ditampung oleh pihak hospital semata-mata.

“Sistem penjagaan kesihatan Malaysia mesti menjadi lebih mampan dan lebih responsif terhadap keperluan populasi yang berubah. Walaupun pusat perubatan kita tunjang kecemerlangan, hospital sahaja tidak mampu menanggung sepenuhnya beban permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner

Hanifah Hajar berkata demikian semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara IHH Healthcare Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Universiti Monash Malaysia.

Beliau berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama-sama untuk memperkukuh penyampaian penjagaan kesihatan melalui penyelarasan yang lebih baik, pembangunan profesional, penyelidikan dan penjagaan berpusatkan pesakit.

Hanifah Hajar berkata ramai rakyat Malaysia memulakan perjalanan penjagaan kesihatan mereka di klinik komuniti, menunjukkan pengamal perubatan am memainkan peranan penting dalam mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal dan membimbing pesakit mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

Beliau berkata Malaysia terus berhadapan dengan beban penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat termasuk diabetes, hipertensi, obesiti, penyakit jantung dan kanser yang memerlukan pengurusan jangka panjang serta kerjasama erat antara doktor, pesakit dan keluarga.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan meningkatkan komunikasi dengan pesakit kerana kemajuan penjagaan kesihatan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan teknologi atau hasil rawatan, tetapi juga melalui sejauh mana pesakit berasa tenang dan disokong sepanjang perjalanan penjagaan kesihatan mereka.

“Pesakit menghargai masa. Mereka menghargai apabila didengari, menerima penjelasan yang mudah difahami dan mengetahui bahawa kebimbangan mereka diambil serius,” katanya. 

Hanifah Hajar berkata komunikasi antara pengamal perubatan am dan pakar perlu diperkukuh bagi memastikan pesakit menerima penjagaan yang lancar, dengan maklumat klinikal dan bimbingan yang jelas dikongsi antara penyedia penjagaan kesihatan.

Mengenai MoU itu, beliau berkata kerjasama tersebut antara lain menyokong inisiatif praktikal dalam laluan rujukan pesakit, pengurusan penyakit kronik, pembangunan profesional berterusan dan penyelidikan yang menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan lebih baik untuk rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan