JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JAPEN) menyediakan dua pusat media utama dan 100 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negeri sebagai pusat media sokongan bagi kemudahan pengamal media sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kemudahan strategik itu yang ditempatkan di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru dan NADI Kampung Sabak Awor di Muar beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam bermula 26 Jun hingga hari pengundian pada 11 Julai ini.
"Kami akan pastikan kelajuan Internet tidak kurang daripada 100 Mbps. Jadi kalau hendak hantar video, hantar gambar tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media PRN Johor di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Selain akses Internet berkelajuan tinggi, pusat berkenaan turut dilengkapi kemudahan lengkap termasuk komputer riba, komputer meja serta kemudahan logistik seperti mesin fotokopi dan pencetak untuk kegunaan pengamal media.
Mengenai kualiti capaian telekomunikasi sepanjang tempoh berkempen, Teo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memantau syarikat telekomunikasi (telco) bagi memastikan kelajuan Internet berada pada tahap maksimum.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi MCMC Nexus bagi membantu pihak berkuasa memantau dan menguji kekuatan isyarat Internet di lokasi spesifik secara langsung.
"Data peribadi anda tidak akan dikongsi (kepada pihak lain) oleh MCMC, tetapi hanya data organik iaitu lokasi, kekuatan Internet akan dikongsi dengan telco supaya sama-sama boleh ditambah baik," katanya.
Teo juga mengingatkan semua parti politik dan penyokong supaya mengamalkan budaya kempen yang sihat serta menghindari isu sensitif membabitkan raja, agama dan kaum (3R).
Katanya, MCMC akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau dan menurunkan sebarang kandungan media sosial yang dikesan mengandungi unsur provokasi melampau.
Dalam pada itu, Teo turut memuji peranan Majlis Media Malaysia dalam mewujudkan platform semakan fakta dan menyarankan rakyat agar membudayakan amalan 'fact check' sebelum menyebarkan sebarang maklumat.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial