Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KDN Teliti Penggunaan AI, UAV Perkukuh Keselamatan Perairan Langkawi

29/06/2026 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti penggunaan teknologi analitik ramalan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta meramal potensi ancaman maritim di perairan utara Semenanjung.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata KDN juga bersetuju memperluas penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV), termasuk aset dron serta merancang pelaksanaannya secara berperingkat di perairan negara, termasuk di Langkawi.

“Penggunaan UAV akan bertindak sebagai pengganda keupayaan kepada aset kapal dan bot sedia ada melalui pelaksanaan pemantauan udara secara real-time (masa nyata), khususnya di kawasan luas, berisiko tinggi dan mempunyai liputan pengawasan yang terhad.

Ad Banner
Ad Banner

“Teknologi ini akan membantu meningkatkan keupayaan pengesanan awal terhadap pergerakan bot-bot yang mencurigakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai tahap kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan di Langkawi dalam menangani ancaman penyeludupan migran atau barang kawalan, serta cadangan penggunaan aset dron.

Shamsul Anuar berkata usaha itu selaras dengan Pelan Strategik KDN 2026-2030 dan Pelan Strategik Kecerdasan Buatan KDN 2026-2030.

Dalam masa yang sama, beliau berkata KDN meneliti cadangan mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan Bersepadu di Teluk Ewa, Langkawi yang akan menempatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) secara bersama.

“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan penyelarasan operasi serta agensi, mempercepat masa tindakan balas serta memperkukuh keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

“Bagi tujuan pemantauan di kawasan perairan negara, APMM juga menggunakan sistem pengawasan laut (SWASLA) bagi mengesan kontak dan aktiviti yang mencurigakan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Suhaimi mengenai perbincangan peringkat ASEAN berhubung isu lambakan pendatang asing khususnya etnik Rohingya, Shamsul Anuar menegaskan keutamaan kerajaan adalah memperkukuh keselamatan negara menerusi kerjasama dua hala serta penguatkuasaan rantau.

Beliau berkata Malaysia melalui APMM sentiasa bekerjasama dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, termasuk Australia, dalam memantau aktiviti nelayan asing serta mengekang kemasukan migran.

Membentangkan statistik, beliau berkata APMM Kedah dan Perlis merekodkan 152 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan pada 2025, manakala 49 kes direkodkan hingga Mei tahun ini.

Bagi PPM pula, sebanyak dua kes direkodkan di bawah Akta Imigresen melibatkan 10 warga Thailand hingga Mei 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan