Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Perluas Bidang Kuasa Luar Wilayah - Azalina

29/06/2026 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Cadangan pindaan kepada Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bertujuan memastikan Malaysia tidak berdepan kekangan bidang kuasa dalam mengambil tindakan terhadap pelaku jenayah seksual kanak-kanak walaupun kesalahan berlaku di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu selaras dengan usaha memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada jenayah seksual rentas sempadan, selain memastikan akta itu kekal relevan susulan perubahan landskap jenayah seksual.

“Kerajaan berpendirian perlindungan tidak seharusnya terhenti hanya kerana kesalahan dilakukan di luar negara atau pelaku berada di luar bidang kuasa Malaysia,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Sehubungan itu, Azalina berkata RUU berkenaan mencadangkan pindaan kepada Seksyen 3 Akta 792 bagi memperluaskan bidang kuasa luar wilayah. 

Beliau berkata ketika ini peruntukan Seksyen 3 hanya terpakai kepada kesalahan dilakukan di luar negara oleh warganegara Malaysia, namun pindaan baharu itu akan memperluaskan skop tersebut kepada pemastautin tetap Malaysia serta individu yang lazim bermastautin di Malaysia.

“Pada masa sama, perlindungan turut diperluaskan kepada kanak-kanak yang merupakan warganegara Malaysia, pemastautin tetap Malaysia atau yang lazim bermastautin di Malaysia,” katanya.

Azalina berkata berdasarkan data Internet Watch Foundation yang dilaporkan pada 2025, sebanyak 16,238 laporan Child Sexual Abuse Material (CSAM) membabitkan kanak-kanak Malaysia direkodkan pada 2024, meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh enam bulan pertama 2025 sahaja, sebanyak 12,656 laporan direkodkan.

“Angka-angka ini menunjukkan bahawa ancaman terhadap kanak-kanak bukan lagi terbatas kepada ruang fizikal, malah semakin berkembang dalam persekitaran digital serta merentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata jenayah seksual terhadap kanak-kanak kini semakin kompleks dengan penggunaan platform tertutup, teknologi penyulitan, identiti palsu serta operasi rentas negara yang menyukarkan pengesanan dan pendakwaan.

“Pindaan ini menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

“Anak-anak tidak memilih untuk menjadi mangsa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka sentiasa dilindungi melalui undang-undang yang tegas, moden dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan