Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

"Soft Release" Bantu Tingkat Kelangsungan Hidup Beruang Matahari Di Tabin

29/06/2026 04:16 PM

Oleh Ummu Khalidah Hamzah

SANDAKAN, 29 Jun (Bernama) -- Usaha pemuliharaan beruang matahari di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin kini memasuki fasa lebih tersusun apabila haiwan terancam itu menjalani pelepasliaran berperingkat menerusi pendekatan soft release yang dipantau menggunakan teknologi GPS bagi meningkatkan kelangsungan hidup di habitat liar.

Pegawai Pendidikan Alam Sekitar Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo (BSBCC) Mohd Haniff Mohd Busrah berkata dua ekor beruang matahari kini menjalani proses soft release, iaitu kaedah pelepasliaran berperingkat yang membolehkan haiwan berkenaan menyesuaikan diri dengan habitat semula jadi sebelum benar-benar mampu berdikari di hutan.

Ad Banner
Ad Banner

“Proses ini memang mengambil masa bergantung pada perkembangan setiap beruang. Kita bawa haiwan ini ke hutan, kemudian kembali ke pusat dan ulang proses itu sehingga tiba masanya beruang matahari ini cukup berdikari untuk hidup sendiri di habitat liar,” katanya kepada pemberita pada program lawatan media ke projek berkenaan di BSBCC, di sini pada Sabtu lepas.

Beliau berkata BSBCC kini menempatkan 43 ekor beruang matahari, kebanyakannya diselamatkan daripada pemeliharaan haram sebagai haiwan peliharaan serta penemuan di kawasan ladang kelapa sawit.

Mohd Haniff berkata setakat ini, 13 ekor telah dilepaskan menerusi kaedah hard release, namun tiga daripadanya disahkan mati selepas kembali ke habitat liar akibat faktor semula jadi termasuk persaingan sesama beruang, kekurangan makanan, penyakit dan kecederaan.

“Apabila haiwan ini terlalu biasa dengan manusia, proses untuk mengembalikan sifat liar menjadi amat mencabar. Ada yang sudah tidak lagi menunjukkan tingkah laku semula jadi, jadi haiwan ini kekal di pusat ini,” katanya.

Beliau berkata setiap beruang yang dilepaskan akan dipasang kolar sistem kedudukan sejagat (GPS) bagi membolehkan pemantauan pergerakan dan penilaian keberkesanan program rehabilitasi, dengan kos kira-kira RM10,000 bagi setiap unit.

Sementara itu, beliau berkata jumlah keseluruhan beruang yang diselamatkan antara 2018 hingga 2026 adalah sebanyak 15 ekor, dengan trend penyelamatan meningkat pada 2026, iaitu empat ekor setakat ini.

Projek Beruang Matahari Tabin itu disokong oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan dana RM50,000 dan dilaksanakan oleh BSBCC, selain turut memberikan tumpuan kepada penyelidikan saintifik, pemantauan lapangan dan pengurusan konflik manusia–hidupan liar.

Beliau berkata Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin yang diurus Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu meliputi kawasan kira-kira dua kali ganda saiz Singapura serta sesuai untuk pemuliharaan beruang matahari kerana jauh daripada gangguan manusia.

Mohd Haniff berkata kawasan berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan BSBCC bagi tujuan soft release, pemantauan dan penyelidikan, selain mempunyai keunikan logistik termasuk kawasan pendaratan semula jadi di zon lumpur gunung berapi yang memudahkan akses ke kawasan pedalaman.

Sementara itu, Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF Nur Fatin Amirah Ahmad Amri berkata sokongan terhadap Projek Beruang Matahari Tabin ialah sebahagian usaha yayasan itu untuk menggalakkan pemuliharaan hidupan liar secara mampan, khususnya dalam memastikan kewujudan bersama antara industri kelapa sawit dengan biodiversiti.

Beliau berkata sebahagian daripada dana RM50,000 itu digunakan untuk penyediaan kolar satelit bagi memantau pergerakan beruang selepas dilepaskan, selain kerjasama dengan syarikat ladang yang akan memaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan BSBCC jika terdapat beruang di kawasan ladang untuk tindakan lanjut.

Dua beruang matahari, iaitu Tenom dan Pitang, katanya, menjadi perintis program soft release, dengan Tenom yang berada di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin hampir dua tahun menunjukkan perkembangan positif apabila semakin menyesuaikan diri dengan persekitaran hutan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan