SHAH ALAM, 29 Jun (Bernama) -- Hari pertama operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam mendapat maklum balas positif pengguna yang menyifatkan perkhidmatan itu sebagai selesa, mudah diakses dan membantu memendekkan masa perjalanan.
Pada masa sama, pengguna turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk aspek kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan keselesaan penumpang bagi memastikan perkhidmatan itu dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Penumpang Razlan Ibrahim, 40, yang juga OKU penglihatan berkata pengalaman menggunakan LRT3 dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Glenmarie 2 memberikan gambaran positif terhadap usaha kerajaan dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif.
Bagaimanapun, pekerja swasta itu mencadangkan papan tanda Braille disediakan di beberapa lokasi penting seperti tandas OKU, surau lelaki dan wanita selain kemudahan lif bagi membantu pengguna OKU sepertinya mendapatkan maklumat arah dengan lebih jelas.
Razlan yang mengambil kesempatan pada hari pertama operasi untuk meninjau kemudahan di beberapa stesen berkata laluan tactile yang disediakan, khususnya di Stesen LRT Bandar Utama amat membantu pergerakan pengguna OKU.
“Saya berpendapat kemudahan laluan tactile sangat berfungsi sebab memandu arah terus ke tandas OKU, surau lelaki, surau wanita dan lif, dan ini yang sangat baik untuk golongan seperti kami.
“Setakat ini semuanya bagus, namun mungkin boleh ditambah baik akses kepada maklumat,” katanya kepada pemberita sempena hari pertama operasi LRT3 Laluan Shah Alam di Stesen Glenmarie 2 di sini hari ini.
Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang melibatkan pelaburan RM16.63 bilion itu antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan operasi itu semalam, mengumumkan tambang percuma perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam dari hari ini hingga 31 Julai termasuk perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) di sepanjang laluan tersebut.
Pekerja swasta Samantha Fong, 26, berkata perjalanan menggunakan LRT3 lebih mudah dan menjimatkan masa kerana perjalanannya dari Bandar Utama ke Glenmarie 2 tidak memerlukan pertukaran tren.
Bagaimanapun, beliau berharap penyediaan koc wanita dapat dipertimbangkan pada masa akan datang bagi meningkatkan keselesaan pengguna.
“Pengalaman hari ini baik-baik sahaja dan masa menunggu tren juga tidak lama. Saya rasa laluan LRT3 ini sangat memudahkan dan sangat membantu,” katanya.
Pandangan sama dikongsikan seorang lagi pekerja swasta, Rainchie Lee, 26, yang menyifatkan pengalaman menaiki LRT3 sebagai selesa dan teratur.
Lee berkata tempoh tambang percuma selama sebulan juga memberi peluang kepada lebih ramai pengguna termasuk pelajar untuk menilai kesesuaian laluan itu sebagai pilihan pengangkutan harian.
“Bagus kerana semua orang boleh mencuba untuk mengetahui jika laluan ini sesuai dan memudahkan perjalanan harian mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial