Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Sasar 25,000 Penerima Manfaat Bakat MADANI - PM Anwar

29/06/2026 06:39 PM

SEREMBAN, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan 25,000 individu bakal menerima manfaat menerusi Inisiatif Bakat MADANI yang dilancarkan hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Bakat MADANI merupakan inisiatif nasional yang menghimpunkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas dalam memperkasakan pembangunan bakat negara.

Anwar berkata inisiatif berkenaan menumpukan kepada pembangunan kemahiran, penyediaan pekerjaan berkualiti serta peningkatan mobiliti sosial.

Ad Banner
Ad Banner

“Pendedahan peluang dalam program ini mencecah kira-kira 25,000 orang. Jadi anak-anak jangan lupa, nyatakan penghargaan kepada badan korporat yang sudi membantu menguruskan dengan baik. 

“Kalau mereka tidak mengurus dengan baik, jadi tidak dapat program ini dilakukan kerana pembiayaan itu pembiayaan mereka, bukan pembiayaan saya. Ini yang disebut Bakat MADANI,” kata beliau ketika berucap merasmikan program itu yang dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, kepimpinan GLIC, GLC dan Petronas.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan Petronas; memperluas peluang penempatan pekerjaan merentas sektor strategik negara serta memperkasakan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Tanggungjawab kita adalah membina jambatan yang menghubungkan bakat tersebut dengan peluang yang tersedia, dan itulah matlamat utama Bakat MADANI. 

"Apabila kita melabur dalam pembangunan rakyat, kita turut memperkukuh asas ekonomi negara. Mengangkat taraf kehidupan rakyat dan meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi merupakan satu kitaran yang saling memperkukuh antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada sektor-sektor bernilai tinggi dan berpotensi besar seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju.

Menurut Amir Hamzah, bagi menggalakkan penyertaan industri secara lebih meluas dalam penyediaan latihan dan peluang pekerjaan berkualiti, kerajaan akan memperkenalkan potongan cukai istimewa kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah inisiatif Bakat MADANI. 

"Insentif baharu ini merupakan penambahbaikan kepada insentif kebolehpasaran sedia ada, dengan liputan yang diperluas kepada lepasan TVET serta peningkatan kadar elaun minimum bagi memastikan pelatih menerima ganjaran yang lebih adil dan kompetitif,” katanya.

Pelbagai program pembangunan bakat diperkasa melalui inisiatif Bakat MADANI antaranya Petronas bersama Majlis Petroleum Malaysia (MPRC) dan Malaysian Oil, Gas & Energy Services Council (MOGSC) melancarkan transformasi program VISTA kepada Vista i-Plus, sebuah model latihan TVET bersepadu yang melibatkan institusi seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) serta Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Di bawah ekosistem GLIC dan GLC, Khazanah Nasional Berhad bekerjasama dengan 23 institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyediakan bakat muda menghadapi alam pekerjaan melalui latihan industri, pensijilan teknikal dan pendedahan kepada keperluan industri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan