Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Insiden Letupan Loji Shell MDS 1997: Khirudin Imbau Kembali Cabaran Pasukan Bomba

30/06/2026 12:42 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 30 Jun (Bernama) -- Malam sambutan Krismas yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan bertukar menjadi detik mencemaskan apabila satu letupan kuat menggegarkan kawasan perindustrian Tanjung Kidurong, Bintulu, 29 tahun yang lepas.

Letupan itu berpunca daripada kilang Shell Middle Distillate Synthesis (Shell MDS), loji penukaran gas kepada cecair (GTL) komersial pertama di dunia yang mula beroperasi pada 1993.

Ad Banner
Ad Banner

Mengimbau kembali detik itu, bekas Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Khirudin Drahman berkata insiden pada malam 25 Dis 1997 itu antara cabaran paling getir dihadapi pasukan bomba.

“Ketika itu saya bertugas sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan tahap kesiapsiagaan serta kelengkapan pasukan bomba negeri untuk menghadapi insiden industri sebesar itu masih terhad.

“Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, bantuan segera digerakkan dari Sibu ke Bintulu pada malam yang sama bagi memperkukuh operasi pemadaman kerana kekuatan anggota dan aset di Bintulu tidak mencukupi,” katanya kepada Bernama.

Khirudin berkata perjalanan dari Sibu ke Bintulu ketika itu mengambil masa kira-kira dua jam setengah dan semua anggota termasuk dirinya bertolak tanpa membawa barangan keperluan peribadi.

“Setibanya di sana, kami terkejut melihat kemusnahan di loji itu. Syukur tiada kematian dilaporkan, hanya beberapa pekerja mengalami kecederaan ringan namun operasi memadam kebakaran berlarutan selama seminggu.

“Siang dan malam kami menyediakan segala kelengkapan diperlukan. Pada mulanya kami menyangka peralatan sedia ada mencukupi, namun apabila di lokasi barulah kami sedar ia tidak memadai,” katanya.

Khirudin berkata letupan kuat itu berpunca daripada kerosakan pada unit pengasingan udara yang seterusnya membakar dua daripada 12 tangki simpanan di loji tersebut.

“Walaupun loji itu terletak dalam kawasan zon penampan yang jauh dari penempatan penduduk, letupan tersebut tetap berpotensi memberikan kesan kepada orang ramai kerana melibatkan kebakaran bahan berbahaya yang memerlukan agen pemadam khas,” katanya.

Berdasarkan pengalaman mengikuti kursus bahan berbahaya (HAZMAT) di Sweden pada 1994, beliau berkata kebakaran industri seperti itu memerlukan penggunaan buih pemadam khas yang tidak tersedia di Bintulu semasa insiden itu berlaku.

“Bekalan terpaksa dibawa dari Seremban, Labuan dan Kuala Lumpur yang dihantar menggunakan kapal ke Bintulu. Proses itu mengambil masa kira-kira empat hari untuk tiba. Pengalaman itu benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental,” katanya.

Khirudin berkata insiden itu menyebabkan kilang itu ditutup sepenuhnya untuk proses siasatan dan kerja pembersihan serta pembinaan semula yang mengambil masa hampir tiga tahun, sebelum kembali beroperasi pada 2000 dengan reka bentuk sistem keselamatan lebih ketat.

“Sebagai hab pembekal gas utama di rantau Asia, Sarawak kini memiliki penilaian risiko lebih menyeluruh, protokol pengurusan kecemasan serta langkah pengawasan, pencegahan dan perlindungan yang lebih komprehensif,” katanya.

Khirudin berkata insiden itu turut menjadi titik perubahan penting kepada JBPM untuk memperkukuh keupayaan pengurusan kebakaran industri dan bahan berbahaya termasuk penambahan aset, latihan serta kepakaran pasukan HAZMAT bagi menghadapi insiden berisiko tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan