KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Program Baucar Buku MADANI 2026 dijangka memberi manfaat kepada lebih 2.2 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi peruntukan sebanyak RM221.6 juta, dengan penebusan e-baucar bernilai RM100 seorang akan bermula esok hingga 31 Okt ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata seramai 2,217,579 penerima melibatkan murid daripada kelas peralihan hingga tingkatan enam, pelajar kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bakal menerima manfaat daripada inisiatif itu.
Beliau berkata penebusan baucar mulai 11 pagi esok akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi platform BookCapital yang kini mempunyai 1,238 syarikat penjual berdaftar.
“Pada tahun ini, KPM turut memperkenalkan Fokus Judul Khas MADANI yang merangkumi karya kesusasteraan dan karya agung, buku umum dan bukan fiksyen berkaitan sejarah, falsafah, ekonomi, geopolitik serta pembangunan modal insan.
“Fokus turut diberikan kepada buku berkaitan sains dan teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pendigitalan. Setiap penerima perlu membeli sekurang-kurangnya sebuah buku daripada kategori Fokus Judul Khas MADANI,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Wong berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai penambahbaikan program tersebut serta jumlah pelajar dan pengajar yang dijangka menerima manfaat daripadanya program Baucar Buku MADANI 2026.
Menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai kajian pasca pelaksanaan program, beliau berkata KPM telah menjalankan penilaian termasuk mendapatkan maklum balas daripada penerima sejak inisiatif itu dimulakan pada 2024.
Beliau berkata kajian impak oleh Institut Darul Ehsan mendapati 97.5 peratus responden bersetuju Baucar Buku MADANI banyak membantu pelajar, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah, manakala 92.2 peratus mengakui ia membantu mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
“Pelaksanaan Baucar Buku MADANI dibuat 100 peratus secara dalam talian melalui platform BookCapital dan selepas dua tahun pelaksanaannya, sememangnya kita telah melaksanakan kajian selidik dalam kalangan penerima,” katanya.
Wong berkata program itu turut mencatat kadar penebusan 100 peratus pada 2024, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan secara digital.
Katanya, kaedah pembelian dan penghantaran buku secara dalam talian membolehkan pelajar di seluruh negara, termasuk di kawasan pedalaman, menikmati akses yang sama kepada bahan bacaan.
“Apa yang telah kita capai ialah 100 peratus penebusan, 100 peratus ketelusan dan sifar ketirisan. Kita juga berjaya memastikan buku yang sama, peluang yang sama dan masa depan yang sama untuk semua anak Malaysia, tidak kira sama ada mereka berada di kawasan bandar atau pedalaman,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial