Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Inisiatif Sejahtera MADANI Di Perak Beri Manfaat 2,000 Penerima, Dana Cecah RM2.3 Juta

30/06/2026 03:47 PM

KUALA KANGSAR, 30 Jun (Bernama) -- Inisiatif Sejahtera MADANI yang dilaksanakan di Perak telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penerima dengan nilai bantuan berjumlah RM2.3 juta setakat ini, selain peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta bagi memperluas pelaksanaan program berkenaan.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata tambahan peruntukan itu akan membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaat, khususnya usahawan mikro, golongan berpendapatan rendah serta pelajar yang memerlukan sokongan bagi meningkatkan taraf kehidupan dan pendidikan.

"Bantuan yang disalurkan bukan sekadar berbentuk kewangan, malah merangkumi penyediaan peralatan kepada usahawan kecil bagi meningkatkan produktiviti perniagaan serta insentif kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ad Banner
Ad Banner

“Program ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan disampaikan secara bersasar dan memberi impak terus kepada rakyat. Tambahan peruntukan RM3 juta yang diluluskan akan membolehkan lebih ramai penerima dibantu dalam fasa seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Jelajah Sejahtera Madani peringkat Parlimen Padang Rengas, di Dewan Millenium Lubok Merbau, di sini hari ini.

Inisiatif Sejahtera MADANI merupakan inisiatif nasional di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan memperkasakan ekonomi isi rumah miskin tegar. 

Terdahulu seramai 13 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi menerima Peranti MADANI berupa komputer riba selain lima usahawan kecil menerima bantuan peralatan perniagaan bagi menyokong pengembangan perniagaan serta meningkatkan pendapatan masing-masing.

Sementara itu, Muhammad Kamil berkata kerajaan akan memperketat pemantauan pelaksanaan Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi memastikan tiada lagi projek yang gagal dilaksanakan atau berlaku ketirisan pada masa hadapan.

Beliau berkata, langkah pengawasan yang lebih teliti akan dilaksanakan susulan terdapat beberapa projek yang tidak dapat disempurnakan seperti dirancang.

"Pendekatan asal program itu adalah memberi ruang kepada komuniti setempat menentukan sendiri keutamaan projek yang diperlukan, namun mengakui pelaksanaannya tidak terlepas daripada beberapa kelemahan.

“Kita perlu ada langkah pengawasan yang lebih teliti. Sudah tentu ada sedikit kekurangan namun daripada semasa ke semasa kita akan terus memantau bagi memastikan tidak berlaku kecurangan atau ketirisan dalam pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata aspek pemantauan akan diberi perhatian secara lebih menyeluruh bagi memastikan setiap projek mencapai objektif yang ditetapkan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan