Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Perluas Konsep Jualan Rahmah Ke Platform e-Dagang - Armizan

30/06/2026 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas pelaksanaan Jualan RAHMAH ke platform e-dagang menerusi Jualan Ihsan RAHMAH secara dalam talian dengan kerjasama TikTok Shop, kata Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata inisiatif itu menjadikan TikTok Shop sebagai platform e-dagang pertama yang bekerjasama dengan KPDN bagi memperluas konsep Jualan RAHMAH secara dalam talian, sekali gus memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Menerusi pelaksanaan itu, pengguna boleh mendapatkan barangan keperluan terpilih melibatkan 75 unit penyimpanan stok (SKU) pada harga diskaun melalui TikTok Shop daripada peruncit terpilih, iaitu HeroMarket dan KedaiFGV.

Ad Banner
Ad Banner

“Pernah juga terfikir ada yang mencadangkan kenapa tidak kita buat Jualan RAHMAH secara dalam talian, tetapi apabila kerajaan ingin melaksanakan sesuatu perkara, kita perlu fikir semua aspek berdasarkan sumber yang ada.

“Syukur, apabila kerajaan belum melaksanakan program Jualan RAHMAH secara dalam talian, TikTok merintis usaha untuk melaksanakan Jualan Ihsan RAHMAH ini secara dalam talian,” katanya ketika merasmikan Pesta JomLokal 2026: Lokal Jaga Lokal dan pelancaran Jualan Ihsan RAHMAH di Ampang hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Perkongsian Strategi TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz.

Armizan berkata TikTok Shop menyalurkan RM180 juta bagi melaksanakan tiga inisiatif utama menerusi Jualan Ihsan RAHMAH, termasuk pemberian baucar ihsan dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan terpilih.

Beliau berkata kerjasama itu turut melibatkan pelaksanaan kadar komisen sifar peratus bagi 56 subkategori barangan, pengurangan yuran platform bagi 39 subkategori lain serta rebat penghantaran RM2 bagi setiap pesanan layak di seluruh negara bagi mengurangkan kos operasi penjual dan kos pembelian dalam talian yang ditanggung pengguna.

“Program ini membawa tiga agenda utama, iaitu memartabatkan produk tempatan, membantu menguruskan isu kos sara hidup dan membantu usahawan meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan turut sejajar dengan kempen Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) yang dilancarkan pada 27 Jun lepas, dengan memberi penekanan kepada pendekatan keseluruhan negara dalam menyokong produk tempatan merangkumi barangan, perkhidmatan serta usaha mempromosikan usahawan tempatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan