Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

BUDI Diesel Bermula Esok, 700,000 Pemilik Kenderaan Nikmati Diesel RM2.10 Seliter

30/06/2026 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara bakal menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDi Diesel) bermula esok. 

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut MOF, pelaksanaan tersebut merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia bagi menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi).

“Kerajaan MADANI juga akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan pelaksanaan subsidi bahan api itu adalah untuk memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api dan menyokong pertumbuhan negara.

Akses awal BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia berjalan lancar sejak dibuka pada 27 Jun, 2026, dan merekodkan kira-kira 80,000 transaksi setakat 12 tengah hari tadi. 

“Ia melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter. Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak,” menurut kenyataan itu. 

MOF turut memaklumkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak boleh memohon tambahan kuota 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, lebih 22,000 permohonan telah diterima melalui portal rasmi BUDI MADANI bagi tambahan 100 liter sebulan tersebut, setakat jam 9.00 pagi tadi. 

Sementara itu, kerajaan akan melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula esok melibatkan fi yang pada masa ini boleh mencecah sehingga RM100 bagi pengguna sebenar yang menggunakan kenderaan berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat.

Bagi memudahkan urusan itu, kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dibuka pada hujung minggu mulai 4 hingga 26 Julai ini dari 8 pagi hingga 5 petang di semua pejabat JPJ negeri dan pejabat JPJ UTC Negeri.

Selain itu, MOF turut menyediakan mekanisme pemindahan kelayakan BUDI Diesel bagi kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar.

Menerusi mekanisme itu, penerima asal BUDI Diesel boleh memindahkan fungsi membeli diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat iaitu pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.

“Setakat jam 9.00 pagi, 30 Jun 2026, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui MoF. Pemindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja. Selepas diluluskan, penerima boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan BUDI Diesel pemilik asal,” menurut kenyataan itu. 

MoF memaklumkan Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel bagi memastikan subsidi sampai kepada pengguna yang layak, mengurangkan ketirisan dan melindungi bekalan negara.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had kelayakan bulanan dan maklumat lanjut di www.budimadani.gov.my. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan