Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kelajuan Respons Menjadi Kunci Tangani Ancaman Digital, MCCA Sokong RUU Jenayah Siber 2026

30/06/2026 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) menyatakan sokongan penuh terhadap pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026, yang disifatkan sebagai langkah penting bagi memperkukuh keselamatan pengguna dan ekosistem digital negara.

MCCA dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa, penggubalan undang-undang berkenaan tidak boleh ditangguhkan berikutan peningkatan ancaman siber termasuk serangan ransomware, pencerobohan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) serta kebocoran data.

Menurut persatuan itu, pendekatan yang mewajibkan semua tindakan pemintasan data aliran trafik dan akses komputer mendapatkan kelulusan kehakiman terlebih dahulu, berisiko menjejaskan keupayaan agensi penguat kuasa bertindak pantas ketika berdepan ancaman siber.

Ad Banner
Ad Banner

“Ancaman siber bergerak sepantas milisaat dan kelewatan beberapa jam atau minit dalam mendapatkan kelulusan waran mahkamah, akan memberi ruang yang luas kepada penjenayah siber untuk menguasai sistem sepenuhnya atau memadamkan bukti secara jarak jauh,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan MCCA itu peruntukan dalam RUU itu termasuk Fasal 38 berkaitan pemeliharaan dipercepat data komputer, serta Fasal 40 dan 41 mengenai pengumpulan data trafik masa nyata dan pemintasan dengan kebenaran Pendakwa Raya, merupakan mekanisme penting dalam menangani ancaman siber.

Menurut kenyataan itu, kuasa tersebut membolehkan agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengambil tindakan segera menyekat aktiviti jenayah serta melindungi data pengguna.

“Dalam kes penipuan dalam talian dan kecurian identiti, kepantasan menjejak alamat IP serta menyekat data komunikasi penjenayah, menjadi faktor utama bagi mengurangkan kerugian mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, MCCA bersetuju bahawa mekanisme semak dan imbang perlu diwujudkan, bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, dengan mencadangkan pelaksanaan semakan kehakiman pascatindakan.

Melalui mekanisme itu, persatuan tersebut berkata pihak berkuasa dibenarkan menyekat dan memitigasi ancaman terlebih dahulu, namun diwajibkan untuk melaporkan serta mengesahkan tindakan tersebut kepada mahkamah dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

MCCA turut menyeru semua pihak agar menilai RUU Jenayah Siber 2026 dari sudut keselamatan nasional demi memastikan undang-undang negara memiliki keupayaan yang tajam untuk menewaskan penjenayah digital.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan