Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dua Beradik Mahu Ubah Persepsi, Sistem Tanaman Fertigasi Mampu Tarik Minat Belia

01/07/2026 03:30 PM

KOTA BHARU, 1 Julai (Bernama) -- Minat mendalam terhadap bidang pertanian mendorong dua beradik mengusahakan tanaman fertigasi timun dan cili secara komersial di tanah milik keluarga sejak 2024, sekali gus membuktikan golongan muda mampu menjadikan sektor itu sebagai sumber pendapatan.

Anak kedua daripada tujuh beradik, Alif Irfan Badrul Hisyam, 26, berkata minat itu dipupuk sejak di bangku sekolah apabila dia membantu bapanya, Badrul Hisyam Yaacob, 55, mengusahakan tanaman di belakang rumah setiap kali pulang dari sekolah dan musim cuti.

Beliau berkata adiknya Ahmad Alimi, 19, pula ketika itu masih di tingkatan empat turut sama membantu sehingga mereka mahir mengendalikan keseluruhan proses tanaman daripada pembinaan struktur, penyediaan sistem pengairan, penanaman anak benih hinggalah proses penuaian.

Ad Banner
Ad Banner

"Kami belajar daripada ayah dan rakan-rakan dia yang berpengalaman dalam bidang pertanian. Kami pergi melihat sendiri cara mereka bekerja sebelum mencuba mengusahakannya sendiri.

"Pada awalnya kami membina kerangka tanaman menggunakan buluh, namun struktur itu musnah akibat banjir sebelum digantikan dengan binaan besi pada penghujung 2025 yang lebih kukuh dan tahan lama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak tanaman dekat Kampung Sri Kulim Melor, di sini, baru-baru ini.

Alif Irfan berkata keluarganya membelanjakan hampir RM20,000 bagi membangunkan projek sistem fertigasi itu, selain menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri berupa peralatan termasuk struktur besi dan tangki air untuk memperkukuhkan sistem tanaman.

"Sekarang projek ini menggunakan kira-kira 1,500 polibeg tanaman dan kami merancang menambah sehingga 2,000 polibeg berikutan masih mempunyai ruang untuk diperluaskan.

"Sistem fertigasi dipilih kerana lebih praktikal, terutama bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir selain sesuai untuk tanaman seperti timun, cili dan terung dengan polibeg diletakkan pada ketinggian kira-kira dua setengah kaki dari aras tanah," katanya. 

Beliau berkata tanaman timun mengambil masa kira-kira sebulan untuk mengeluarkan hasil dan boleh dituai secara berterusan kerana buahnya cepat membesar setiap hari, manakala cili pula mengeluarkan hasil selepas kira-kira tiga bulan tetapi tempoh tuaian lebih panjang.

Sementara itu, Ahmad Alimi berkata walaupun berdepan cabaran cuaca, serangan serangga perosak dan turun naik harga pasaran, mereka tetap bersemangat meneruskan projek ini kerana percaya pertanian mampu menjadi kerjaya yang menguntungkan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Katanya, mereka menyasarkan hasil sekitar dua tan metrik timun bagi satu musim tanaman, selain giat mengembangkan penanaman kira-kira 500 pokok cili, dengan harapan dapat memperluaskan bidang ini pada masa depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan