Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penutupan Kekal Dua Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Ampang Bermula Hari Ini - DBKL

01/07/2026 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Persimpangan lampu isyarat di hadapan Kedutaan Besar Diraja Thailand dan Lorong Ampang 2 di Jalan Ampang akan ditutup secara kekal bermula hari ini bagi memberi laluan kepada projek menaik taraf Jalan Ampang. 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu adalah sebahagian daripada projek menaik taraf Jalan Ampang sepanjang 3.2 kilometer, bermula dari persimpangan Jalan Tun Razak hingga ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menurut DBKL, projek itu bertujuan meningkatkan kecekapan rangkaian jalan raya, keselamatan pengguna serta melancarkan aliran trafik di koridor utama berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Projek ini melibatkan penyediaan infrastruktur yang lebih sistematik termasuk pembinaan pembahagi jalan, jalan empat lorong dua hala, laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat, serta penambahbaikan kemudahan lampu jalan.

“Pembinaan pembahagi jalan dan penutupan persimpangan lampu isyarat ini juga dijangka dapat mengurangkan konflik pergerakan kenderaan, mengurangkan kelewatan di persimpangan serta meningkatkan kelancaran aliran trafik di sepanjang Jalan Ampang," menurut kenyataan itu.

Bagi mengurangkan kesesakan kerana penutupan jalan, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif dengan membuat pusingan U di Jalan Tun Razak untuk ke arah Ampang, manakala bagi perjalanan ke arah pusat bandar, pusingan U boleh dibuat di Jalan Ampang Hilir.

Orang ramai dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas bagi memastikan perjalanan lancar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan