Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Kuatkuasa Perintah Khidmat Masyarakat Mulai Hari Ini

01/07/2026 01:06 PM

BUKIT MERTAJAM, 1 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah, sebagai langkah memperkukuh usaha menjaga kebersihan awam di seluruh negeri, mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 (Akta A1772) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 (Akta A1773) yang diwartakan pada 12 Nov lepas.

Beliau berkata selaras dengan penguatkuasaan perintah itu, tiada lagi amaran akan diberikan, sebaliknya tindakan terus diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang, menempatkan, mencampakkan atau meninggalkan sampah di tempat dan jalan awam.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita mempunyai pasukan penguat kuasa yang membuat rondaan di lokasi hotspot pembuangan sampah dan mereka dilengkapi dengan kamera badan untuk merakam video serta gambar sebagai bahan bukti dalam melaksanakan PKM.

“Sekiranya perbuatan itu dapat dibuktikan, notis akan dikeluarkan supaya pesalah dibawa ke mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau diperintahkan menjalani khidmat masyarakat sehingga 12 jam, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan PKM di Seberang Perai dan mengedarkan risalah berkaitan kepada peniaga serta orang ramai bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Baderul Amin Abdul Hamid di Bandar Perda, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, H’ng berkata sebanyak 26 kamera badan dibekalkan kepada pegawai penyiasat MBSP yang menjalankan penguatkuasaan, manakala 119 lokasi di Seberang Perai telah diluluskan sebagai tempat pesalah menjalani khidmat masyarakat sekiranya diperintahkan mahkamah.

Katanya, antara kesalahan di bawah PKM termasuk membuang puntung rokok, tisu, plastik, botol dan pembungkus makanan merata-rata, membuang sampah ke dalam longkang atau parit, meninggalkan sampah di taman awam, pantai dan kawasan rekreasi, membuang sampah dari dalam kenderaan serta meninggalkan sisa makanan atau sampah selepas berniaga di pasar malam, medan selera dan pusat penjaja.

Beliau berkata penguatkuasaan itu terpakai kepada semua individu tanpa mengira sama ada penduduk tempatan, pengunjung dari luar negeri, pelancong atau warga asing manakala, bagi kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur, tanggungjawab terhadap kesalahan itu akan dipikul oleh ibu bapa atau penjaga mengikut peruntukan undang-undang.

Sementara itu, H’ng berkata pelaksanaan PKM setakat pagi ini berjalan lancar dan berharap semua pihak mematuhi undang-undang serta memainkan peranan menjaga kebersihan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan