Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tourism Malaysia Promosi Pakej Pelancongan Pulau Pinang-Kedah, Tarik Pelancong Asing

01/07/2026 07:32 PM

GEORGE TOWN, 1 Julai (Bernama) -- Tourism Malaysia akan menganjurkan program lawatan suai kenal untuk ejen pelancongan inbound yang berpangkalan di Pulau Pinang, ke beberapa destinasi pelancongan di Kedah, sebagai usaha memperkukuh promosi pakej pelancongan gabungan Pulau Pinang-Kedah kepada pelancong antarabangsa.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara Abdul Hadi Che berkata inisiatif itu, bertujuan memanfaatkan kemasukan pelancong asing yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain di wilayah utara.

Beliau berkata ejen pelancongan inbound di Pulau Pinang yang membawa masuk pelancong dari pasaran utama seperti China, Taiwan, Singapura dan Hong Kong, akan diperkenalkan dengan pelbagai produk pelancongan di Kedah, untuk dipasarkan menerusi pakej pelancongan bersepadu.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita merancang menawarkan pakej yang menggabungkan pengalaman melancong di Pulau Pinang dan Kedah dan dengan bantuan ejen, kita berharap berlaku limpahan pelancong ke Kedah sekali gus dapat memberi manfaat kepada produk pelancongan di negeri itu.

“LTAPP kini menerima kira-kira 55 penerbangan antarabangsa dan lebih 30 penerbangan domestik setiap hari, menjadikannya pintu masuk utama pelancong ke wilayah utara, dengan tahun lepas merekodkan lebih 8 juta pergerakan penumpang keluar masuk,” katanya kepada pemberita selepas Program Bisnes To Bisnes (B2B) Kedah Tourism, yang turut dihadiri Pengurus Besar Kedah Tourism Mohd Zaidy Omar.

Abdul Hadi berkata antara produk pelancongan yang akan diketengahkan di Kedah ialah Gunung Jerai, Pulau Songsong, pelayaran bakau di Sungai Merbok, Air Panas Ulu Legong, Gua Sireh di Baling, serta produk pelancongan baharu di Sik seperti Kasa Kanda, Rock Village dan ladang kopi Sik.

Beliau berkata produk ekopelancongan berkenaan, dijangka mendapat sambutan khususnya daripada pelancong Singapura, Hong Kong, China dan Taiwan, yang gemar menikmati pengalaman alam semula jadi yang sukar diperoleh di negara mereka.

Sementara itu, Mohd Zaidy berkata Kedah Tourism memberi tumpuan untuk mempromosi lebih banyak produk pelancongan baharu di tanah besar Kedah, bagi memperkenal kepelbagaian destinasi selain Langkawi sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata negeri itu memiliki pelbagai produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, geopelancongan dan ekopelancongan, yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa.

“Usaha mempromosikan produk seperti Gunung Jerai, Sungai Merbok dan Pulau Songsong, aktiviti white water rafting di Kulim serta Air Panas Ulu Legong di Baling, dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pemain industri pelancongan dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak, bagi menghasilkan lebih banyak pakej pelancongan,” katanya.

Mengulas prestasi sektor pelancongan, Mohd Zaidy berkata Kedah berjaya merekodkan lebih sembilan juta pelancong tahun lepas, termasuk lebih 7.1 juta pelancong domestik dan lebih 2.2 juta pelancong antarabangsa, manakala bagi tahun ini Pulau Langkawi disasarkan menerima lebih tiga juta pelancong.

Dalam pada itu, beliau berkata program B2B yang menghimpunkan 40 wakil daripada 30 syarikat pelancongan di Kedah bersama-sama hampir 100 pembeli dari Pulau Pinang dan Perak, diharap dapat memperkukuh kerjasama rentas negeri serta meningkatkan pemasaran destinasi tanah besar Kedah sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan