KUCHING, 1 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memperkukuh kerjasama strategik bagi menangani jenayah rentas sempadan, dengan tumpuan kepada perkongsian risikan, penyelarasan operasi keselamatan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan Malaysia-Brunei.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata kerjasama itu dicapai dalam mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat PPDB semalam sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Brunei.
Beliau berkata mesyuarat itu menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua pasukan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
“Selain memperkukuh perkongsian risikan dan maklumat, mesyuarat turut memfokus kepada penyelarasan operasi keselamatan darat dan perairan, peningkatan kerjasama operasi mencari dan menyelamat serta memperkemas prosedur pemindahan Orang Kena Tahan (OKT) mengikut perundangan dipersetujui kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Mohamad Zainal mengetuai delegasi polis Sarawak yang turut disertai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak, barisan Ketua Jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak serta Ketua Polis Daerah Miri, Limbang dan Lawas.
Delegasi PPDB diketuai Pesuruhjaya Polis Brunei Datuk Seri Pahlawan Sulaiman Alidin.
Pada majlis sama, Sulaiman turut menyampaikan surat penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Miri dan Limbang sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama cemerlang membantu menahan seorang penjenayah yang melarikan diri dari Brunei.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata mesyuarat berkenaan berjaya mencapai objektif ditetapkan selain mengukuhkan lagi hubungan profesional antara kedua-kedua pihak dalam usaha memastikan keselamatan dan keamanan di kawasan sempadan Malaysia-Brunei terus terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial