KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti mekanisme bersesuaian bagi membantu komuniti pulau di Semenanjung yang menggunakan bot persendirian, khususnya melibatkan keperluan pembelian petrol di bawah mekanisme BUDI MADANI.
Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kementerian memahami cabaran yang dihadapi penduduk pulau, yang bergantung kepada bot sebagai pengangkutan harian untuk berulang-alik ke tanah besar.
“Kementerian boleh melihat bagaimana nak membantu golongan ini secara khusus,” katanya dalam sesi Kamar Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing), yang mencadangkan kuota BUDI95 ditambah bagi penduduk pulau, termasuk di Mersing, Johor, berikutan penggunaan petrol yang lebih tinggi untuk pengangkutan bot.
Sementara itu, Fuziah berkata kementerian sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi memperluas pemberian fleet card diesel bersubsidi kepada rumah orang tua yang berdaftar di bawah badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata ketika ini golongan berkenaan belum layak untuk menerima kemudahan itu kerana tidak berdaftar di bawah syarikat, walaupun mempunyai keperluan pengangkutan yang tinggi bagi urusan kebajikan dan penjagaan kesihatan warga emas.
“Kita sedang melihat kepada SOP macam mana kita hendak meluluskannya, kerana mereka tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mereka berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), jadi kena ada lagi satu prosedur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai akses subsidi diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada sektor ekonomi terpinggir, termasuk pelancongan dan pembinaan.
Fuziah berkata industri pelancongan masih belum layak menerima subsidi diesel di bawah SKDS 2.0, kerana skim itu memfokuskan kepada sektor keperluan asas seperti makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial