SHAH ALAM, 1 Julai (Bernama) -- Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 anjuran Yayasan KRU mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatat penyertaan terbesar murid prasekolah dalam pertandingan mewarna di seluruh negara.
Program itu melibatkan lebih 153,000 murid Tabika KEMAS dan Tabika Perpaduan, dengan sokongan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU Datuk Norman Abdul Halim berkata pencapaian itu membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memupuk minat kanak-kanak terhadap kreativiti, selain menyemai kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar menerusi kempen bertemakan "Saya Sayang Orang Utan".
“Alhamdulillah, hari ini merupakan satu hari yang bersejarah bagi Yayasan KRU dengan kerjasama semua pihak yang menjayakan program ini dan hasrat kami adalah memupuk dan juga menanam minat mereka dalam bidang kreativiti, selain juga mewar-warkan mesej tentang pemeliharaan alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rasmi AKAR 2026 di sini hari ini.
Norman berkata hadiah pertandingan disalurkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM100,000 bagi peringkat negeri dan kebangsaan manakala pemenang tempat pertama hingga ketiga setiap negeri akan berentap di peringkat kebangsaan di Putrajaya pada 29 Ogos ini untuk merebut hadiah utama bernilai RM3,000.
Sementara itu, Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata kreativiti merupakan antara kemahiran penting dalam melahirkan generasi berdaya saing, selain menyifatkan penganjuran AKAR 2026 sebagai platform terbaik mencungkil bakat kanak-kanak.
Hadir sama Ketua Pengarah JPNIN Datuk Zulkifli Hashim dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial