KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu kejadian di sebuah sekolah menengah di bandar Banting, Kuala Langat, Selangor semalam, dijadikan titik tolak kepada pelaksanaan Agenda Nasional Keselamatan dan Kesejahteraan Kanak-Kanak serta Remaja yang merangkumi reformasi pendidikan, pengukuhan institusi keluarga, pemerkasaan komuniti, penjagaan kesihatan mental dan keselamatan digital.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata tragedi itu tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar kes jenayah, sebaliknya isyarat bahawa negara perlu menilai semula ekosistem yang membentuk kehidupan, pemikiran dan sahsiah generasi muda.
Beliau berkata perubahan landskap digital yang semakin mempengaruhi kehidupan remaja menuntut pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan perkembangan emosi, tingkah laku dan kesejahteraan golongan itu terus terpelihara.
Ahmad Fahmi berkata pendedahan kepada kandungan berunsur keganasan, budaya yang menormalisasikan perlakuan ekstrem, buli siber, budaya kebencian dan komuniti dalam talian yang toksik berpotensi menjejaskan perkembangan remaja sekiranya tidak disertai dengan pendidikan, bimbingan serta kawal selia yang berkesan.
"ABIM tidak mengaitkan mana-mana kandungan, platform atau faktor tertentu sebagai punca insiden yang sedang disiasat. Sebarang kesimpulan mengenai motif dan faktor penyumbang hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa berdasarkan bukti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata ABIM menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh kawal selia penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, namun langkah itu perlu diperkasakan melalui mekanisme pengesahan umur yang lebih berkesan, peningkatan akauntabiliti penyedia platform digital serta pemantauan terhadap kandungan dan algoritma berisiko.
Usaha memperkukuh keselamatan murid juga, katanya, perlu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan kementerian dan agensi berkaitan, institusi pendidikan tinggi, badan masyarakat sivil serta penyedia platform digital.
Beliau berkata tumpuan perlu diberikan kepada pembinaan adab dan karakter, pengukuhan kesihatan mental, pencegahan buli dan keganasan, literasi digital, keselamatan siber serta pemerkasaan ibu bapa dalam memantau penggunaan Internet anak-anak.
Selain itu, beliau berkata negara perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan melalui pelaksanaan saringan kesejahteraan mental secara berkala, penambahan kaunselor dan psikologi pendidikan serta latihan kepada guru bagi mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dalam kalangan murid.
ABIM turut menegaskan bahawa sekolah tidak boleh dipertanggungjawabkan secara bersendirian, sebaliknya keluarga dan komuniti perlu memainkan peranan sebagai rangkaian sokongan dalam membentuk sahsiah serta mengesan perubahan tingkah laku remaja lebih awal.
Pada masa sama, Ahmad Fahmi merakamkan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat serta berharap semua pihak mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan siasatan dan menambah penderitaan mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial