Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Citrawarna 2026: Lebih 40 Hotel, Premis Penginapan Tawar Promosi Penginapan

10/07/2026 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Lebih daripada 40 buah hotel dan premis penginapan di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri, akan menawarkan promosi penginapan eksklusif bagi merancakkan aktiviti pelancongan bersempena dengan Citrawarna 2026, yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Julai ini.

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan tawaran istimewa itu, merangkumi kadar bilik pada harga menarik serta pakej gabungan unik, bagi memberikan penginapan yang selesa di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri.

Promosi berkenaan boleh ditempah mulai pertengahan bulan ini hingga pertengahan Ogos, sekali gus memberi pilihan terbaik kepada pelawat yang merancang percutian singkat sempena festival tersebut yang diadakan di Dataran Merdeka.

Ad Banner
Ad Banner

Pengunjung boleh menikmati tawaran penginapan dengan membuat tempahan terus melalui laman sesawang rasmi pengusaha hotel atau secara terus.

Maklumat lanjut termasuk senarai hotel yang terlibat, butiran pakej, serta inisiatif Citra Rasa akan diumumkan secara berperingkat menerusi platform media sosial di @citrawarna.my dan @malaysia.truly.asia, atau boleh didapati di www.malaysia.travel.

Menurut kenyataan Tourism Malaysia itu, selain tawaran penginapan, rangkaian hotel yang terlibat turut menyemarakkan Citrawarna 2026 menerusi inisiatif Citra Rasa (Colours of Flavour), dengan memperkenalkan hidangan yang diinspirasikan daripada warisan kulinari setiap negeri di Malaysia di kafe dan restoran hotel masing-masing. 

Ad Banner

“Menerusi inisiatif gastronomi asli ini, para pengunjung berpeluang menikmati kepelbagaian hidangan tradisional yang kaya dengan keunikan warisan rasa yang tersendiri,” menurut kenyataan itu.

“Kerjasama antara Tourism Malaysia dan para pemain industri mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.

“Langkah strategik ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pengunjung, malah menyokong pertumbuhan pelancongan inklusif, memperkasakan komuniti tempatan, meningkatkan daya tahan industri, serta memacu pembangunan ekonomi yang mampan sepanjang tempoh Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” menurut kenyataan itu.

Citrawarna 2026 dengan tema “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa” yang berlangsung selama tiga hari merupakan acara kebudayaan ikonik negara yang cukup mengujakan. 

Festival berkenaan menampilkan kelainan dengan mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya, warisan, serta keindahan alam semula jadi Malaysia menerusi persembahan rona warna yang memukau, sekali gus menawarkan platform unik kepada pengunjung domestik dan antarabangsa untuk merasai sendiri kekayaan identiti serta kepelbagaian budaya tanah air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan