KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Sejumlah 9,000 peserta dijangka menyertai The IHH Sky Race™ | Merdeka 118 pada 22 dan 23 Ogos ini, untuk mencabar diri mendaki 2,845 anak tangga ke Aras 118 Merdeka 118, bangunan tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia.
Pengarah Urusan Fresh Events Asia merangkap Pengarah Perlumbaan Jeffrey Ross berkata acara yang disifatkan sebagai larian menara terbesar di dunia itu kembali dalam format dua hari, susulan kejayaan edisi pertama.
“Sambutan orang ramai terhadap acara tahun ini amat menggalakkan. Apa yang bermula sebagai visi untuk mewujudkan acara larian menara bertaraf dunia di sebuah bangunan paling ikonik di dunia, kini berkembang menjadi antara acara sukan penyertaan massa yang paling dinanti-nantikan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata acara itu bukan sekadar perlumbaan, malah turut meraikan pencapaian peribadi, kecekalan dan semangat komuniti dengan penyertaan atlet elit, penggemar kecergasan, pendaki kali pertama, keluarga, rakan serta pasukan korporat.
Ross berkata penyertaan IHH Healthcare Malaysia sebagai rakan penaja utama bagi tempoh tiga tahun dijangka memperkukuh lagi penganjuran acara itu, selain memberikan pengalaman unik kepada peserta daripada pelbagai tahap kecergasan untuk mencabar diri sambil menikmati pengalaman mendaki Merdeka 118.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Dr Kamal Amzan berharap kerjasama berkenaan dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mencabar diri serta menyedari bahawa setiap usaha ke arah kesihatan lebih baik bermula dengan langkah pertama.
Sebagai rakan penaja utama, IHH Healthcare Malaysia akan menyokong penganjuran acara menerusi pelbagai inisiatif penglibatan komuniti, program kesihatan dan kesejahteraan, aktiviti praacara serta penyediaan perkhidmatan perubatan di lokasi, selaras dengan komitmennya memajukan kesihatan melangkaui persekitaran hospital.
Peserta boleh memilih kategori individu atau berpasukan yang terdiri daripada tiga orang, dengan setiap peserta perlu melengkapkan keseluruhan pendakian sebelum turun menggunakan lif.
Acara itu turut mendapat sokongan EBENE sebagai rakan utama dan Oligo sebagai rakan sokongan, selain Malaysia Convention & Exhibition Bureau, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam memperkasakan pelancongan sukan.
The IHH Sky Race™ | Merdeka 118 turut mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Larian Menara Malaysia dan beraspirasi menjadi antara acara larian menara terkemuka dunia, setanding dengan Empire State Building Run-Up, Shanghai Tower International Vertical Marathon, Eiffel Tower Vertical Race dan Taipei 101 Run Up.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat pendaftaran boleh melayari laman web www.theskyrace.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial