LABUAN, 8 Nov (Bernama) -- Kumpulan tarian, Labuan Youth Dansa mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih pingat emas bagi kategori Folklore pada Festival Tarian Dunia (WDF) 2026 yang berlangsung di Midland Convention Centre, Shah Alam, Selangor, semalam dan hari ini.
Kemenangan itu merupakan yang pertama bagi kumpulan tersebut di pentas antarabangsa sejak penubuhannya oleh Majlis Belia Labuan (MBL), yang menyaksikan 144 penyertaan dari 10 negara dan wilayah.
India mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi iaitu 47, diikuti Malaysia (40), Mongolia (21), Indonesia (18), Qatar (enam), Korea Selatan (lima), Rusia (tiga), Hong Kong, China (dua), Filipina (satu) dan Singapura (satu).
Delegasi Labuan sebanyak 13 orang terdiri daripada sembilan penari, seorang pengurus pasukan, seorang koreografer dan tiga petugas sokongan.
Kumpulan berkenaan mempersembahkan tarian tradisional Brunei yang diberi interpretasi kreatif dengan gabungan gerak tari asli dan koreografi moden serta elemen etnik kontemporari tanpa mengetepikan identiti budaya.
Presiden MBL Nazera Roslan berkata kemenangan itu membuktikan keupayaan, kreativiti dan potensi bakat muda Labuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan meraih pingat emas dalam kategori Folklore pada penampilan sulung ini amat bermakna buat Labuan Youth Dansa dan MBL. Ia bukan sekadar kemenangan malah membuktikan bahawa seni tempatan dan warisan budaya kita mempunyai daya tarikan untuk diketengahkan di pentas dunia.
"Kami berharap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak golongan muda untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni dan kebudayaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, koreografer kumpulan berkenaan, Dafi Chua berkata kejayaan tersebut hasil komitmen, disiplin dan kerjasama seluruh pasukan dalam menggabungkan gerak tari tradisional Brunei dengan elemen moden tanpa menjejaskan identiti asalnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial