KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Jenazah Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada 10.55 pagi ini.
Terdahulu, lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar yang dipimpin Imam 1 masjid berkenaan Muhammad Abid Ayub.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin.
Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir di tanah perkuburan berkenaan ialah veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Mohd Radzi serta tiga Sasterawan Negara iaitu Datuk Dr Anwar Ridhwan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan.
Hadir sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hazami Jahari serta penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.
A Samad Said yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka merupakan penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985 dan terkenal dengan karya agung seperti novel Salina, Sungai Mengalir Lesu serta Hujan Pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial