DUNIA > BERITA

Indonesia Sekat Aplikasi e-Dagang Temu Kerana Pelanggaran Peraturan

15/10/2024 09:51 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia telah menyekat aplikasi TEMU dengan alasan ketidakpatuhan peraturan, bertujuan melindungi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) serta pengguna.

Jurucakap Prabunindya Revta Revolusi menjelaskan bahawa TEMU – sebuah pasaran dalam talian dari China yang menghubungkan produk secara langsung dari kilang kepada pengguna – telah menimbulkan kebimbangan mengenai potensi penetapan harga pemangsa dan lambakan harga.

“Jika produk asing memasuki pasaran pada harga yang jauh lebih rendah berbanding produk PMKS, pengguna pasti akan memilih pilihan yang lebih murah, menjadikan sukar untuk PMKS kita bersaing,” menurut Prabunindya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa TEMU tidak berdaftar sebagai Operator Sistem Elektronik (ESO) di Indonesia, bermakna ia beroperasi secara haram dan gagal mematuhi peraturan percukaian.

“Proses pendaftaran ESO dianggap mudah. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada petunjuk daripada TEMU bahawa ia berhasrat untuk mematuhi peraturan itu.”

Prabunindya turut menyuarakan kebimbangan mengenai perlindungan pengguna, dengan menyatakan bahawa produk yang dijual melalui TEMU dianggap tidak mempunyai jaminan kualiti, kerana tidak mematuhi piawaian kawal selia yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan