DUNIA > BERITA

Xi Hargai Sumbangan NCUSCR Dalam Memperkukuh Hubungan China, AS

16/10/2024 03:14 PM

BEIJING, 16 Okt (Bernama-CMG) -- China sentiasa mengendalikan hubungan Beijing-Washington berdasarkan prinsip saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama untuk mencapai manfaat bersama, kata Presiden Xi Jinping.

Presiden Xi merakamkan perutusan tahniah sempena makan malam gala tahunan Jawatankuasa Nasional mengenai Hubungan Amerika Syarikat (AS)-China (NCUSCR) pada Selasa.

Beliau melahirkan penghargaan atas usaha tanpa jemu yang dilakukan NCUSCR untuk menjayakan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara, sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada William E. Ford yang meraih anugerah dalam gala berkenaan.

Xi menegaskan bahawa kejayaan China dan AS saling menawarkan peluang dan kedua-dua negara seharusnya menjadi pendorong, bukannya penghalang, kepada kemajuan satu sama lain.

Beliau menegaskan bahawa China bersedia menjadi rakan kongsi dan sahabat kepada AS, kerana hal ini bukan sahaja menguntungkan kedua-dua negara, tetapi juga membawa manfaat kepada seluruh dunia. 

Xi menyatakan bahawa keterbukaan adalah sinonim dengan pemodenan ala China dan pintu negara Tembok Besar akan terus dibuka lebih luas.

Usaha akan dipergiat untuk membangunkan persekitaran perniagaan bertaraf dunia, mengoptimumkan kelebihan pasaran besar China serta potensi permintaan domestik bagi mencipta lebih banyak peluang kerjasama antara China dan AS, tambah Xi.

Beliau berharap NCUSCR dan rakan-rakan dari segenap lapisan masyarakat supaya terus menyokong hubungan China-AS, di samping aktif terlibat dalam proses pemodenan China dan memperoleh manfaat daripadanya.

Pada hari sama, Presiden AS Joe Biden juga mengirimkan perutusan tahniah kepada gala tahunan NCUSCR itu.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan