DUNIA > BERITA

Korea Selatan Ingin Perkukuh Kerjasama Tadbir Urus AI Dengan Malaysia, ASEAN

17/10/2024 10:18 AM

Oleh Nabilah Saleh

SEOUL, 17 Okt (Bernama) -- Korea Selatan menyuarakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia dan negara anggota ASEAN dalam isu berkaitan kecerdasan buatan (AI), dengan penekanan khusus pada perlindungan harta intelek (IP), keselamatan siber, maklumat palsu dan kerjasama rentas sempadan.

Peguam Harta Intelek (IP) dan pakar dari firma guaman Lee & Ko yang berpangkalan di Seoul, Kwak Jae Woo berkata inisiatif itu bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan datang, menawarkan peluang kerjasama dalam tadbir urus AI.

“Pendekatan proaktif Korea Selatan dalam mengawal selia AI boleh dijadikan contoh bagi Asia Tenggara. Pendekatan negara saya mengimbangi keperluan inovasi dengan keselamatan awam dan pertimbangan etika.

“Korea Selatan telah merangka undang-undang yang berpandangan jauh untuk menangani cabaran khusus yang ditimbulkan oleh AI, terutamanya AI generatif yang berpotensi besar dalam mencipta maklumat palsu.

“Malaysia boleh memanfaatkan jawatan Pengerusi ASEAN untuk mengusulkan kerangka kerja bersama yang menangani isu-isu berkaitan AI seperti privasi, keselamatan siber dan perlindungan IP,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini dengan Bernama.

Kwak ditemui di luar Persidangan LAWASIA ke-37 2024, yang diadakan di sini dari 13 hingga 15 Okt 2024.

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin peguam, ahli perundangan, organisasi profesional dan peguam individu dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk membincangkan perkembangan serantau dalam undang-undang, amalan kehakiman, pendidikan undang-undang dan penyelesaian pertikaian rentas sempadan.

Mengulas lanjut mengenai peranan Malaysia dalam ASEAN, Kwak menjelaskan bahawa ASEAN boleh menyelaraskan dasarnya dan menerima pakai kerangka kerja yang padu untuk secara kolektif menangani cabaran yang ditimbulkan oleh teknologi AI.

Memandangkan risiko keselamatan siber yang berkaitan dengan AI kini semakin meningkat, beliau mencadangkan forum ASEAN boleh mendapat manfaat daripada pendekatan Korea Selatan dalam mengintegrasikan langkah keselamatan siber ke dalam peraturan AI.

“AI merevolusikan banyak industri, tetapi ia juga meningkatkan ancaman keselamatan siber yang semakin canggih. ASEAN harus memberi perhatian kepada keselamatan siber dalam dasar AInya untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat di seluruh rantau ini pada masa ini,” tambahnya.

Selain itu, dengan cabaran baharu seperti maklumat salah dan berita palsu yang mengancam keselamatan negara, politik dan ekonomi, Kwak mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Serantau untuk memantau dan memerangi maklumat palsu.

Pasukan petugas ini, kata Kwak boleh merangkumi wakil dari negara anggota ASEAN, syarikat teknologi, dan masyarakat sivil, memberikan pelbagai pandangan untuk menangani isu yang semakin meningkat ini.

“Pendekatan kolaboratif ini penting untuk membangunkan penyelesaian yang berkesan bagi cabaran maklumat palsu,” katanya, sambil menyatakan kerjasama antarabangsa amat diperlukan terutama apabila negara bergelut dengan sifat global inovasi AI.

Beliau turut mencadangkan agar Malaysia dan ASEAN memberi keutamaan kepada pembangunan program pendidikan untuk memaklumkan kepada pencipta dan orang ramai tentang hak dan kewajipan mereka berhubung kandungan yang dijana AI.

“Penyelarasan dengan piawaian antarabangsa kini penting untuk ASEAN dan Malaysia juga boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan kerjasama rentas sempadan mengenai rangka kerja undang-undang berkaitan AI,” katanya.

Menurut laporan media antarabangsa, kes undang-undang yang terkenal termasuk Thaler lwn Comptroller General of Patents dan Google LLC lwn Oracle America, Inc, yang mencetuskan perdebatan mengenai kesan AI terhadap undang-undang hak cipta dan pembangunan perisian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan