DUNIA > BERITA

UNIFIL Berdepan Cabaran Bekalan Di Lubnan Akibat Gangguan Logistik Dan Aktiviti Ketenteraan

20/10/2024 02:16 PM

Oleh Noor Bakthtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang bertugas di Meiss ej Jebel, Lubnan kini berdepan masalah kekurangan bekalan kritikal, termasuk air, susulan cabaran logistik yang semakin meruncing akibat peningkatan aktiviti ketenteraan di sepanjang Blue Line.

Dalam hantaran di platform X pada Ahad, UNIFIL memaklumkan bahawa situasi di kawasan terbabit mencapai tahap krisis kerana bekalan tidak dapat disalurkan sejak 29 Sept lalu akibat sekatan jalan dan pertempuran yang berterusan.

"Semalam (Sabtu), pasukan pengaman di Meiss ej Jebel kehabisan bekalan air selepas beberapa minggu tidak menerima bekalan semula. Akses ke pos-pos berhampiran Blue Line amat mencabar," menurut kenyataan itu.

Kebanyakan pos UNIFIL mempunyai bekalan makanan dan air yang mencukupi untuk lebih 10 hari, namun pos di Meiss ej Jebel tidak menerima sebarang bekalan sejak akhir September disebabkan jalan yang terhalang.

Selepas rundingan yang teliti dan memperoleh peluang sementara, UNIFIL akhirnya berjaya menyampaikan bekalan penting seperti makanan, air dan ubat-ubatan kepada pos itu, sekali gus membolehkan pasukan pengaman kembali beroperasi seperti biasa.

"Selepas melalui halangan seperti membersihkan jalan akibat pertempuran aktif serta amaran dari Tentera Pertahanan Israel (IDF) mengenai aktiviti ketenteraan, pos terbabit akhirnya berjaya dibekalkan dengan makanan, air dan keperluan penting, membolehkan pasukan pengaman meneruskan tugas mereka," menurut UNIFIL.

UNIFIL, yang ditubuhkan pada 1978, merupakan antara misi pengaman PBB yang paling lama beroperasi dengan lebih 10,000 anggota tentera ditempatkan di Lubnan.

Cabaran ini muncul di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu, sebahagiannya dicetuskan oleh konflik yang sedang berlaku di Gaza yang turut memberi kesan kepada seluruh wilayah Timur Tengah.

Pada Jumaat, seorang jurucakap UNIFIL mengesahkan bahawa pasukan mereka di selatan Lubnan diserang beberapa kali, dengan lima insiden dianggap sebagai serangan yang disengajakan.

Malaysia turut menyertai pasukan pengaman ini melalui Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang ditempatkan di Tibnin dan Marakah, menurut kenyataan terkini dari Kementerian Luar Negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan