DUNIA > BERITA

Sidang Kemuncak Biodiversiti PBB COP16 Bermula Di Colombia

22/10/2024 10:55 AM

BOGOTA (Colombia), 22 Okt (Bernama-Anadolu) -- Sidang Kemuncak Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP16, secara rasmi bermula pada Isnin di bandar Cali, Colombia.

Perwakilan dari 196 negara akan membincangkan langkah-langkah untuk mendapatkan lebih banyak pembiayaan bagi biodiversiti serta mencipta mekanisme bagi penglibatan lebih langsung daripada masyarakat orang asli, selain isu-isu alam sekitar yang lain, lapor Agensi Anadolu.

Pemimpin dunia, aktivis, organisasi bukan kerajaan, pemimpin perniagaan, kumpulan orang asli, dan penyelidik akan menghadiri sidang kemuncak yang akan berlangsung sehingga 1 Nov.

Semasa acara perasmian pada Ahad, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa para delegasi untuk "berdamai dengan alam" dan berusaha untuk menyelamatkan spesies terancam serta memelihara ekosistem planet.

Guterres menyeru pelaburan besar dalam Dana Rangka Kerja Biodiversiti Global yang diwujudkan tahun lalu, serta komitmen untuk menggerakkan sumber kewangan awam dan swasta yang lain.

"Golongan yang meraih keuntungan daripada alam mesti menyumbang kepada perlindungannya dan pemulihannya," kata Guterres dalam mesej video yang disiarkan pada sidang kemuncak itu.

Kira-kira 12,000 delegasi dari hampir 200 negara, termasuk 140 pemimpin dunia dijangka menghadiri persidangan ini.

Konvensyen Kepelbagaian Biologi disahkan oleh 196 negara pada 1992 dengan tujuan untuk memelihara dan menggunakan kepelbagaian biologi secara mampan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan