DUNIA > BERITA

Raja Charles Dan Permaisuri Camilla Berangkat Ke Samoa Untuk Lawatan Negara

23/10/2024 05:30 PM

APIA (Samoa), 23 Okt (Bernama-dpa) -- Raja Britain Charles III dan Permaisuri Camilla menzahirkan rasa "teruja" sempena lawatan pasangan diraja itu ke Samoa dan merasai "kehangatan" tradisi purba negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). 

Charles dan Camilla menamatkan lawatan enam hari mereka ke Australia dan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) menuju ke negara Polinesia itu.

Perdana Menteri Samoa Afioga Fiame Naomi Mataafa akan menyambut pasangan diraja itu apabila mereka tiba di Samoa yang merupakan pusingan terakhir perjalanan luar negara mereka.

Tidak lama selepas pesawat RAAF berlepas, pasangan diraja itu memuat naik mesej di media sosial di bawah nama mereka.

Pasangan diraja itu bertitah: "Semasa kami menuju ke Apia, kami teruja untuk melawat Samoa buat kali pertama bersama-sama dan merasai kehangatan tradisi purba bersama orang-orang anda yang luar biasa. Feiloa'i ma le manuia! – Charles R & Camilla R."

Tweet itu termasuk beberapa perkataan dalam bahasa Samoa yang diterjemahkan sebagai "teruja untuk bertemu rakyat Samoa".

Samoa menganjurkan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang bertemakan "Satu Masa Depan Bersama yang Berdaya Tahan".

Raja adalah ketua Komanwel dan buat pertama kalinya, akan mempengerusikan perhimpunan presiden dan perdana menteri, dan membuka acara secara rasmi, yang akan dihadiri Perdana Menteri UK Keir Starmer.

Charles mewakili Ratu Elizabeth II semasa CHOGM terakhir yang dianjurkan oleh Rwanda pada 2022, dan di Samoa, akan disertai oleh Setiausaha Luar David Lammy.

-- BERNAMA-dpa   

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan