DUNIA > BERITA

India Sedia Alu-alukan ‘Negara Rakan Kongsi’ Untuk Perluasan BRICS, Kata Modi

23/10/2024 10:08 PM

NEW DELHI, 23 Okt (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri India Narendra Modi pada Rabu berkata terdapat "jangkaan tinggi" daripada BRICS, sambil menambah bahawa sebarang keputusan untuk mengembangkan blok ekonomi yang sedang pesat membangun itu harus dibuat secara konsensus.

"India bersedia untuk mengalu-alukan negara baharu ke dalam BRICS sebagai 'negara rakan kongsi'," lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Modi sebagai berkata semasa sidang kemuncak pemimpin BRICS di Kazan, Rusia.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin itu dimulakan dengan ucapan kepada pemimpin BRICS, termasuk dari Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang pertama kali menyertai sidang kemuncak itu sejak menjadi ahli rasmi pada Januari.

Modi bercakap semasa sesi tertutup sidang kemuncak itu yang bermula pada Selasa.

“Dalam hal ini, semua keputusan perlu dibuat secara konsensus, dan pandangan ahli pengasas BRICS harus dihormati,” kata perdana menteri India itu.

Beliau juga menyatakan bahawa beberapa permohonan baharu untuk keahlian masih menunggu kelulusan.

“Mesyuarat kita berlangsung pada masa dunia sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran mendesak, termasuk peperangan, ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim dan keganasan,” kata Modi.

Merujuk kepada perbincangan mengenai jurang Utara-Selatan dan Timur-Barat, Modi berkata terdapat "jangkaan tinggi" daripada BRICS yang pelbagai dan inklusif, yang beliau percayai "boleh memainkan peranan positif dalam semua bidang."

Menyeru peraturan global mengenai keselamatan siber dan penggunaan kecerdasan buatan yang selamat dan terjamin, Modi berkata: "Kita mesti menyampaikan kepada dunia bahawa BRICS bukan organisasi yang memecahbelahkan, tetapi organisasi yang berfungsi demi kepentingan kemanusiaan."

"Kami menyokong dialog dan diplomasi, bukan peperangan," tambahnya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan