DUNIA > BERITA

Indonesia Tegaskan Sokongan Untuk Palestin Semasa Mesyuarat Dua Hala Di Rusia

24/10/2024 03:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia, Sugiono menegaskan komitmen kukuh negara itu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan semasa mesyuarat dua hala dengan pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Kazan, Rusia.

"Saya akan memastikan isu Palestin kekal di barisan hadapan diplomasi Indonesia, dan kami akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin," katanya di luar sidang kemuncak BRICS Plus 2024.

Menteri yang baharu dilantik itu membuat kenyataan semasa pertemuan dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif PLO, Hussein Al Sheikh, dengan mencadangkan agar sidang kemuncak BRICS dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama sebagai kuasa positif bagi keamanan di Palestin, menurut kenyataan kementerian.

Beliau mengulangi sokongan politik Indonesia terhadap Palestin, termasuk usaha berterusan untuk mempromosikan gencatan senjata kekal dan inisiatif damai lain yang bertujuan mencapai penyelesaian dua negara, sambil menambah bahawa komitmen berkenaan turut disuarakan oleh Prabowo Subianto semasa pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt.

Sugiono juga menegaskan komitmen Indonesia terhadap bantuan kemanusiaan untuk Palestin, baik secara dua hala mahupun melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) serta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), di samping menekankan pentingnya usaha kolektif untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.

Sementara itu, dalam mesyuarat dua hala berasingan bersama Menteri Luar India Dr S. Jaishankar, Sugiono mengalu-alukan keputusan India untuk menarik balik larangan eksport beras putih bukan basmati, yang akan meningkatkan keselamatan makanan.

Kedua-dua menteri membincangkan kerjasama dalam pelbagai sektor seperti pemakanan, perumahan, farmaseutikal, pertahanan, dan pendidikan.

Beliau turut menjemput Jaishankar ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama kelapan di Jakarta yang memfokuskan sektor ekonomi, pertahanan, pendidikan, serta penyelidikan dan pembangunan.

Semasa mesyuarat dua hala bersama Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa, kedua-dua menteri membincangkan mengenai ASEAN dan bertukar pandangan mengenai situasi di Myanmar, dengan bersetuju mengenai keperluan penyelesaian segera terhadap isu terbabit.

Sugiono menyokong kepentingan meneruskan usaha kerjasama yang inklusif serta pendekatan disesuaikan yang melibatkan semua pihak di Myanmar, sambil mengekalkan solidariti dan pemusatan ASEAN di tengah-tengah keadaan geopolitik yang dinamik.

Maris menyuarakan harapan agar Indonesia, sebagai sebahagian daripada Troika Plus ASEAN untuk membantu menyelesaikan krisis Myanmar dan terus memainkan peranannya, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan