Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 29 Okt (Bernama) -- Tentera Nasional Indonesia (TNI) menghantar pasukan pengurusan bencana ke Filipina bagi membantu usaha pemulihan susulan kemusnahan yang dicetuskan oleh Ribut Tropika Trami di wilayah Bicol.
Operasi bermula pada Isnin, melibatkan 24 anggota dan aset ketenteraan termasuk helikopter Mi-17 milik Tentera Darat dan helikopter H-225M Caracal Tentera Udara.
Pusat Maklumat TNI dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa helikopter terbabit akan digunakan untuk operasi pemindahan, pengagihan logistik, dan menyokong usaha pemulihan di kawasan yang terjejas.
"Misi kemanusiaan ini dijadual berlangsung selama 14 hari, dengan fokus kepada pemindahan mangsa, pemulihan infrastruktur, dan pengagihan bekalan penting," menurut pusat itu.
Pelan penerbangan helikopter melibatkan beberapa peringkat, bermula dari pangkalan udara di Bogor, Jawa Barat, dan Semarang, Jawa Tengah.
Perhentian awal akan dilakukan di Banjarmasin dan Palu, diikuti oleh Manado dan Davao, sebelum tiba di Legazpi, Filipina, pada hari ketiga.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Filipina melaporkan pada Isnin bahawa sekurang-kurangnya 97 orang maut akibat banjir kilat di beberapa wilayah selepas Ribut Tropika Trami membawa hujan lebat pada Rabu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial