Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae menegaskan sokongan padu Seoul terhadap Malaysia selaku pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2025, sambil menekankan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara.
Yeo menyuarakan keyakinan bahawa kepimpinan Malaysia akan memajukan matlamat ASEAN, terutamanya di tengah-tengah perubahan dinamik di rantau Indo-Pasifik.
"Peranan penting Malaysia dalam ASEAN akan memacu rantau ini ke arah kestabilan dan kemakmuran yang lebih besar. Korea Selatan tetap komited untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam merealisasikan matlamat-matlamat ini.
"Korea Selatan bersedia memberi sokongan penuh kepada Malaysia dalam menjayakan tanggungjawabnya selaku Pengerusi ASEAN.
“Sebagai langkah pertama, kedua-dua pihak menyelaras jadual untuk menganjurkan Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan, diikuti dengan Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia secara berturut-turut," katanya pada program Malaysia Scholars on Korea Network (MASK) bertajuk "Elevated Malaysia-South Korea Ties" di sini, Selasa.
Acara itu dianjurkan bersama oleh ISIS Malaysia dan Kedutaan Korea Selatan.
Sebagai rakan strategik, Yeo turut menekankan bahawa kedua-dua negara berada pada kedudukan terbaik untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan dan ekonomi.
Mengenai kerjasama pertahanan, Yeo memberi penekanan terhadap komitmen Korea Selatan mengenai keamanan serantau, terutamanya dalam keselamatan maritim dan pertahanan.
Penglibatan Seoul dalam mekanisme yang diketuai ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN (ARF) menekankan kepentingan kerjasama berterusan untuk menangani cabaran keselamatan bersama, katanya.
"Korea Selatan komited menyokong inisiatif keamanan ASEAN, dan kami berharap dapat memperkukuh hubungan pertahanan khususnya dalam keselamatan maritim, keselamatan siber dan usaha menentang keganasan," kata Yeo.
Sementara itu, mengenai perbincangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedang berlangsung antara Korea Selatan dan ASEAN, Yeo menyatakan kemajuan penting yang dicapai, dengan kedua-dua pihak berhasrat untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan perdagangan, pelaburan dan akses pasaran.
"FTA ini mempunyai potensi transformatif, bukan sahaja untuk perniagaan Malaysia tetapi juga untuk semua anggota ASEAN yang ingin berkembang dalam pasaran Korea Selatan, terutamanya dalam sektor ekonomi digital dan hijau," katanya.
Yeo menambah bahawa FTA sejajar dengan visi ASEAN untuk rantau yang bersepadu melalui perdagangan dan pembangunan mampan, sekali gus membolehkan perniagaan Malaysia mendapat manfaat daripada peluang baharu dalam sektor berkembang maju di Korea Selatan.
Pada majlis yang sama, ISIS Malaysia dan Kedutaan Korea Selatan turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan penyelidikan, pertukaran maklumat dan ilmu. Terma perjanjian meliputi penyelidikan bersama, penerbitan, pertukaran dan pelopor bagi kajian-kajian Korea.
Antara bidang penyelidikan yang akan diberi tumpuan termasuk dasar luar, keselamatan, ekonomi, teknologi, inovasi, alam sekitar dan pembangunan mampan, serta perpaduan negara.
Kedua-dua pihak menandatangani MoU pertama pada 2017 yang menjadi asas kepada aktiviti MASK.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial