DUNIA > BERITA

Tiada Alternatif Kepada UNRWA - Guterres

29/10/2024 06:28 PM

NEW YORK, 29 Okt (Bernama-WAFA) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan pelaksanaan undang-undang yang melarang Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di wilayah itu boleh membawa kesan buruk terhadap pelarian Palestin dan ini tidak dapat diterima.

"Tiada alternatif kepada UNRWA. Pelaksanaan undang-undang ini akan menjejaskan usaha penyelesaian konflik Israel-Palestin dan juga keamanan serta keselamatan di rantau ini secara keseluruhan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, UNRWA tidak boleh digantikan," lapor Agensi Berita dan Info Palestin (WAFA) memetik Setiausaha Agung itu dalam satu kenyataan.

Guterres juga menyatakan bahawa beliau akan membawa isu ini ke Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara.

Malam tadi, Knesset Israel meluluskan undang-undang dalam bacaan kedua dan ketiga yang melarang aktiviti UNRWA di Palestin, walaupun terdapat amaran antarabangsa dan daripada PBB mengenai bahaya undang-undang ini yang melanggar piagam dan undang-undang antarabangsa serta PBB.

Undang-undang itu menyatakan bahawa UNRWA tidak akan mengendalikan sebarang pejabat perwakilan, tidak akan menyediakan sebarang perkhidmatan, dan tidak akan menjalankan sebarang aktiviti, secara langsung atau tidak langsung, di wilayah jajahannya.

-- BERNAMA-WAFA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan