RAMALLAH, 29 Okt (Bernama-WAFA) -- Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin mengarahkan kedutaan dan misinya untuk melibatkan diri dengan kementerian luar, pembuat keputusan, dan pendapat umum di negara tuan rumah mereka bagi membina gabungan antarabangsa yang luas untuk menekan Israel berhubung undang-undang terbarunya yang melarang operasi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Kementerian Luar dan Ekspatriat dalam satu kenyataan menekankan bahawa inisiatif diplomatik itu dilaksanakan secara kerjasama dengan negara Arab dan Islam yang bersaudara dan mesra.
Kementerian itu juga menyatakan penghargaan terhadap negara-negara yang telah menentang keputusan Knesset Israel terhadap UNRWA, menggesa semua negara untuk secara terbuka mengecam undang-undang berkenaan sebagai tindakan pencerobohan terhadap rakyat dan pelarian Palestin, serta serangan ke atas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi khususnya.
Ia menyeru tindakan segera untuk menjadikan tentangan global sebagai langkah konkrit bagi menuntut Israel bertanggungjawab, melindungi institusi PBB, dan memaksa Israel membatalkan serta menghentikan pelaksanaan undang-undang itu.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial