DUNIA > BERITA

OIC Kecam Tindakan Knesset Israel Larang Operasi UNRWA

29/10/2024 09:40 PM

JEDDAH, 29 Okt (Bernama-SPA) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras keputusan Knesset Israel yang meluluskan rang undang-undang untuk melarang operasi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur yang diduduki serta menarik balik keistimewaan dan kekebalan agensi itu.

Langkah itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Israel untuk menghapuskan isu pelarian Palestin dan menafikan hak mereka untuk kembali.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan OIC memberi amaran tentang langkah ini akan memberi kesan serius terhadap keupayaan agensi itu untuk menyediakan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin.

OIC menegaskan bahawa serangan berterusan Israel terhadap kemudahan, kakitangan, dan orang yang dipindahkan tidak akan melemahkan mandat antarabangsa UNRWA yang berasaskan resolusi Perhimpunan Agung PBB.

OIC turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB agar menunaikan tanggungjawabnya untuk melindungi UNRWA dan memastikan agensi itu terus menyediakan perkhidmatan penting kepada jutaan pelarian Palestin.

OIC juga menggesa masyarakat antarabangsa menyokong penyelesaian adil dan dipersetujui berhubung isu pelarian Palestin, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan