DUNIA > BERITA

Festival MAROI 2024 Bantu Jenama Malaysia Tembusi Pasaran Thailand

01/11/2024 04:33 PM

PATTANI, 1 Nov (Bernama) -- Festival MAROI (Malaysia Aroi) 2024 yang sedang berlangsung di ASEAN Mall, Pattani, wilayah selatan Thailand, dijangka menjana nilai jualan kira-kira 40 juta Baht (100 Baht = RM12.93) sepanjang empat hari festival tersebut.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata MAROI, yang bermaksud “Malaysia Sedap”, berfungsi sebagai platform penting bagi jenama dan produk Malaysia untuk menembusi pasaran Thailand.

"Pelbagai jenama dari Malaysia telah berjaya memasuki pasaran Thailand melalui MAROI, yang sekali gus membuka peluang pekerjaan dan memacu kemajuan ekonomi setempat," katanya selepas majlis perasmian festival itu malam tadi.

Festival MAROI 2024 itu  telah menarik lebih 60,000 pengunjung. 

Ia dianjurkan oleh UNITI Asia Link Sdn Bhd dengan kerjasama Syarikat One Stop Center Co. Ltd dan ASEAN Mall, Pattani, serta disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bangkok.

Menurut Ahmad Fahmi, selain Malaysia, MAROI juga berjaya menarik minat penyertaan negara anggota ASEAN lain untuk meneroka peluang pasaran di wilayah selatan Thailand.

"Saya ingin menyeru kepada para usahawan dari Malaysia, Indonesia, dan negara-negara ASEAN lain untuk terus meneroka peluang di Pattani. Kerajaan Malaysia sentiasa menyokong usaha seperti ini agar ia dapat berkembang secara progresif dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Pattani dan wilayah selatan Thailand merupakan lokasi strategik yang menyuburkan pertumbuhan ekonomi ASEAN.

"Keupayaan penduduknya untuk berkomunikasi dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Thai, membuka ruang yang lebih luas bagi perdagangan dua hala," katanya.

Beliau berkata kedudukan geografi strategik dan pembangunan pesat Pattani menawarkan peluang besar kepada pelabur asing, yang sekali gus meningkatkan pendapatan per kapita dan kuasa beli penduduk setempat.

“Hal ini tentunya memberi impak positif kepada sektor perdagangan dan pelancongan bagi kedua-dua negara, Malaysia dan Thailand,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan