DUNIA > BERITA

PM Anwar, PM China Saksi Pertukaran Dokumen Pelan Kerjasama BRI

05/11/2024 09:10 PM

Daripada Massita Ahmad

SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China Li Qiang menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan China berkaitan Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Pelan itu menyasarkan pembangunan berkualiti tinggi dan kerjasama antara Malaysia dan China menerusi penyelarasan dasar, kesalinghubungan infrastruktur yang lebih baik dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Selain itu, ia turut meliputi kerjasama kewangan yang lebih mendalam serta hubungan yang diperkukuh dalam pelbagai sektor lain seperti pendidikan, sains dan teknologi, media, budaya, pelancongan, kesihatan dan sukan.

Pertukaran dokumen berkenaan adalah antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional China Liu Sushe.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke China mulai semalam hingga 7 November atas jemputan Li bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di sini.

Beliau tiba pada Isnin (4 November), menjadikan Shanghai sebagai destinasi pertama sebelum meneruskan perjalanan ke Beijing.

Tengku Zafrul pada Julai lepas dilaporkan berkata keputusan Malaysia untuk mengesahkan penglibatan dalam BRI menjadikannya antara yang pertama di ASEAN berbuat demikian, justeru mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi antara Malaysia dan China.

Menurutnya langkah ini telah menghasilkan projek transformasi yang menambah baik kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi.

Tengku Zafrul berkata syarikat China telah melabur dengan ketara di Malaysia, daripada projek infrastruktur berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada industri berteknologi tinggi di zon ekonomi khas.

Syarikat Malaysia juga telah mencapai kejayaan di China terutama dalam sektor seperti pembinaan, kewangan, hasil pertanian dan pengeluaran makanan halal, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan