DUNIA > BERITA

Song Wat Road Di Bangkok Berubah Jadi Hab Gaya Hidup Baharu Yang Dinamik

09/11/2024 07:22 PM

BANGKOK, 9 Nov (Bernama) -- Song Wat Road kini muncul sebagai permata tersembunyi terbaharu di Bangkok.

Terletak berhampiran daerah Yaowarat (Chinatown) di kota raya itu, Song Wat Road telah berubah menjadi antara pusat gaya hidup terbaharu Bangkok - hab yang bertenaga bagi penggemar kopi, peminat seni dan pencinta budaya.

Song Wat Road yang bersejarah sepanjang satu kilometer terletak di tebing Sungai Chao Phraya dan bermula sejak awal 1900-an. Pernah menjadi laluan air yang sibuk, ia menjadi pintu masuk penting untuk pengangkutan air serta hab perdagangan yang berkembang pesat.

Hari ini, sekumpulan usahawan muda yang bersemangat dikenali sebagai 'Made In Song Wat,' mempelopori usaha pemulihan untuk memelihara warisan budaya kawasan itu dan memperkenalkan daya tarikan kontemporari untuk menarik pengunjung generasi baharu.

Pengasas "Made In Song Wat," Kiattiwat Srichanwanpen menyatakan bahawa projek itu bermula dua tahun lalu dengan hanya kira-kira 10 perniagaan tempatan yang mengambil bahagian. Kini, inisiatif itu telah berkembang merangkumi lebih 60 perniagaan.

“Untuk menandakan tahun kedua projek kami, kami telah melancarkan "Song Wat Guide Book, Volume 2" yang mengetengahkan lebih 60 perniagaan dan tarikan tempatan, termasuk kafe, restoran, ruang seni, serta kedai tradisional,” kata Kiattiwat kepada Bernama.

Minggu Song Wat 2024 yang bertemakan "Song Wat Cross," meraikan gabungan perniagaan lama dan baharu serta telah menarik banyak penaja yang menyediakan gerai pasar di sepanjang jalan dari 7 hingga 10 Nov.

Sementara itu, pemilik Hostel Urby, Barbon Bar dan Abby Nail Salon, Punpitcha Taychakhoonavudh berkongsi pengalamannya menyaksikan perubahan besar di Song Wat Road sejak menubuhkan perniagaannya di situ pada 2016.

“Saya sentiasa mahu menawarkan perkhidmatan hospitaliti yang berpatutan dan perkhidmatan tepi sungai yang semua orang boleh nikmati.

“Saya bersyukur kerana 'Made In Song Wat' berjaya menghimpunkan usahawan muda untuk menghidupkan semula kawasan bersejarah ini selepas pandemik,” katanya.

Memandang ke hadapan, Punpitcha menyatakan harapan agar usaha pemeliharaan bangunan dan mercu tanda bersejarah di Song Wat dijalankan secara lestari dan mesra alam, menggabungkan perniagaan warisan dengan usaha baharu untuk memupuk komuniti jangka panjang yang berkembang maju.

Song Wat Road, yang dahulunya terkenal dengan peranannya dalam industri perdagangan dan import Bangkok, kini menjadi destinasi unik yang menggabungkan seni bina lama, kafe moden dan kuil bersejarah.

Pada 2023, majalah Time Out menamakan Song Wat sebagai satu daripada 50 kawasan perumahan paling menarik di dunia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan