DHAKA, 10 Nov (Bernama-UNB) -- Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus pada Ahad menggesa Singapura membantu untuk mendapatkan semula berbilion dolar wang yang diubah secara haram dari Bangladesh dan meminimumkan kos penghijrahan dari negara itu, menurut United News of Bangladesh (UNB).
"Sejumlah besar wang telah dipindahkan keluar dari Bangladesh ke banyak negara, termasuk Singapura," lapor UNB yang memetik kenyataan Prof Yunus kepada Duta Besar Singapura ke Bangladesh, Derek Loh, ketika mereka berbincang selama kira-kira satu jam.
Ketua Penasihat itu semasa pertemuan di pejabatnya di Tejgaon, berkata: "Kami memerlukan kerjasama penuh Singapura."
Duta Besar Loh dalam reaksinya berjanji untuk bekerjasama dengan Dhaka, menurut unit media Ketua Penasihat itu.
Dr Yunus juga menggesa negara pulau itu untuk bekerjasama dengan Dhaka dalam matlamatnya untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja dari Bangladesh dengan ketara.
Beliau berkata kerajaan sementara mahu menurunkan kos penghijrahan dengan tujuan membantu pekerja luar negara dari negara ini menghantar lebih banyak wang kepada keluarga mereka
"Kami boleh mewujudkan struktur model dengan Singapura untuk mengurangkan kos pengambilan," kata Prof Yunus.
-- BERNAMA-UNB
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial