Oleh Nashir Mansor
KAHERAH, 10 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar mana-mana negara yang enggan mengiktiraf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu disingkirkan daripada badan dunia itu.
Tanpa menyebut nama mana-mana negara, tetapi merujuk kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, Anwar berkata mengusir negara tersebut adalah satu-satunya pilihan yang ada.
"Kita berdepan dengan situasi yang kompleks kerana penolakan Israel untuk memberikan bantuan kemanusiaan sehingga berlaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Kita telah mengambil pendirian yang sangat tegas dalam hal ini, untuk membantah dengan serius. Sebenarnya, saya telah mengemukakan idea bahawa apabila sesebuah negara menolak untuk mengiktiraf peraturan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB, satu-satunya pilihan adalah untuk menyingkirkan mereka dari PBB.
“Ada pandangan yang perlu dipertimbangkan, tetapi saya faham betapa kompleksnya situasi ini kerana seperti yang Presiden (El-Sisi) katakan, keutamaan beliau adalah untuk menghentikan permusuhan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi selepas pertemuan dua hala di Istana Al-Ittihadiya di sini pada hari Ahad.
Terdahulu, Anwar mengadakan kunjunganhormat ke atas El-Sisi sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Mesir yang bermula pada Sabtu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih mewakili rakyat Malaysia kepada Presiden Mesir dan rakyat Mesir atas bantuan mereka dalam memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia kepada Palestin di Gaza berjalan lancar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial